Wednesday, 8 February 2012

ZERO Arc ~Bab 4~


BAB 4

Dalam sebuah bilik yang gelap, hanya diterangi cahaya bulan sabit malam dan gemerlapan lampu-lampu bangunan malam itu, kelihatan seorang lelaki sedang duduk termenung di sudut tingkap biliknya itu. Setelah diamati, dapat dilihat bahawa lelaki itu sedang menahan amarahnya terhadap sesuatu.

“Jahanam kau budak!” Suara amukannya bergema dalam bilik itu dan dia mula menyelerakkan kesemua peralatan yang ada dalam bilik itu. Bunyi pecah kaca berderai, hentakan di sana sini menemani kemarahannya itu. Setelah puas melepaskan geramnya, lelaki itu kembali tenang. Ketika itulah, pintu biliknya diketuk.

“Masuk.”

“Tuan. Saya mendapat arahan dari pihak atasan untuk memulakan rancangan baru. Beliau meminta tuan untuk menghubunginya dengan kadar yang segera.” Kata orang bawahannya itu. Lelaki itu merenung tajam ke arahnya.

“Baiklah, aku faham. Kau boleh keluar sekarang.” Sebaik sahaja orang bawahannya itu melangkah keluar dari biliknya, dia segera mengaktifkan sistem komputernya dan membuat panggilan video.

“Sudah lama aku tunggu, Arman.” Kata seorang lagi bayang-bayang pemuda dalam skrin panggilan video itu. Wajahnya tidak begitu jelas kelihatan, namun hanya bahagian bawah mukanya sahaja yang jelas kelihatan dalam skrin tersebut.

“Saya dapat tahu Tuan ada rancangan baru untuk kami bertindak. Boleh saya tahu apakah rancangan itu?” tanya Arman, kehairanan. Pemuda itu melemparkan senyuman yang menyeringai.

“Kau pernah dengar tak tentang Kolej Multimedia TM?”

“Ya, tuan. Tapi, apa kaitannya kolej itu dengan pelan terbaru kita ini, tuan?”

“Oh, perkaitannya itu ada, Arman. Kalau kau hendak tahu, di situ ada sebuah fakulti yang dinamakan fakulti Media Kreatif. Merekalah sasaran utama kita, kerana kekuatan tenaga kreativiti mereka sangat kuat dan tambahan pula… sasaran utama kita pun kebetulan sedang belajar di situ.” Kata pemuda itu sambil tersenyum menyeringai. Ketika itulah, Arman yang dari tadi buntu mula turut sama tersenyum.

“Tuan memang hebat! Saya betul-betul tak sangka yang tuan sudah selidik perkara ini dengan betul. Terima kasih, tuan. Saya akan pastikan saya akan lakukan tugasan ini dengan baik.” Kata Arman dengan perasaan gembira sambil ketawa besar.

“Baguslah kalau begitu. Baik, kita akan adakan mesyuarat untuk memulakan rancangan kita pada hari esok. Aku tunggu kehadiran kau esok.” Sesi panggilan video mereka itu lantas berakhir di situ. Arman yang dari tadi tersenyum mula ketawa terbahak-bahak.
            
           “Ini masanya. Siaplah kau, Harris Zulkarnain!”  
  
15hb. Januari 2012, 9.00 pagi.

       Semester kedua pengajian Harris sudah pun bermula dan sudah hampir sebulan berlalu sejak pertempuran mereka dengan lelaki berambut panjang itu. Harris dari tadi hanya memandang kosong ke hadapan di mana pensyarahnya sedang sibuk mengajar di hadapannya.

Fikirannya pula melayang jauh memikirkan perkara yang membuatkan hidupnya berubah secara drastik sejak satu demi satu perkara terjadi kepadanya.
          
         “Harris. Harris.” Walaupun namanya beberapa kali dipanggil oleh pensyarahnya, namun dia langsung tidak memberi sebarang reaksi. Pelajar-pelajar lain yang berada dalam bilik kuliah itu hanya ketawa kecil. Geram dengan sikapnya, pensyarah itu bertindak menghentak meja Harris.
   
         “Ya! Saya tak tidur! Betul! Sumpah!” Reaksi spontan Harris itu menderaikan tawaan yang mula bergema kuat dalam kelasnya itu. Harris masih lagi berada dalam keadaan yang terpinga-pinga dan ketika itulah dia terlihat Encik Shazrul, selaku pensyarahnya yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu dengan muka yang mencuka.
              
                “Oh, Encik Shazrul rupanya.”
           
               “Ishh, kamu ini! Punyalah lama saya tercegat di sini panggil nama awak, begitu sajakah reaksi awak, hah?” Encik Shazrul segera melatah apabila melihat reaksi Harris yang tenang itu. Gelagat mereka berdua itu lantas menjadikan keadaan dalam kelas itu lebih gawat dengan hilaian tawa dari para pelajar lain.


15hb. Januari 2012, 1 petang.
         
          Harris mengeluh ringan sebaik sahaja dia keluar dari bilik Encik Shazrul. Hampir setengah jam dia diberi ceramah percuma kerana sikapnya yang tidak disengajakan dalam kelas tadi. Keluhan dilepaskan lagi, namun kali ini lebih berat. Lantas, dia berjalan menuju ke kantin untuk mengisi perutnya.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Panggilan dari Adira, lantas panggilannya diterima.

“Hello. Ada apa, Adira?”

“Awak sekarang ini di mana?”

“Saya di kolejlah. Di mana lagi? Hari ini semester kedua saya baru sahaja bermula.”

“Begitukah? Saya baru sahaja hendak mengajak awak keluar dengan yang lain-lain.”

“Bagusnya awak tengah bercuti sekarang ini, tambahan pula awak pun baru saja tamat peperiksaan SPM.” Kata Harris, menyindir.

“Kalau awak mahu sangat bercuti, mintalah untuk ditangguhkan pengajian saja.” Balas Adira, pedas.

“Itu sajakah awak mahu tanya?” Harris segera menukar topik.

“Kai dan Ryan ada di rumahkah?”

“Mereka tak ada di rumah sekarang ini. Mereka keluar, kata mereka hendak mengambil angin.”

“Kalau begitu, tidak mengapalah. Baiklah, saya pun tidak mahu mengganggu awak sedang belajar. Sampai di sini sahaja.” Adira lantas mematikan panggilannya dengan tiba-tiba.

Harris mengeluh, lagi.  “Ambil angin? Bukannya betul pun.” Katanya dalam hati. Kemudian dia mendongakkan kepalanya memandang ke arah langit. Beberapa lama kemudian, wajahnya mencuka tiba-tiba sambil melepaskan keluhan ringan.

“Kalau kamu berdua hendak mengekori aku sekali pun, janganlah sampai aku tahu kamu berdua ada di situ.” Harris bersuara tiba-tiba. Lantas, pandangannya beralih ke belakangnya. Ketika itulah, kelibat Kai dan Ryan muncul dan berjalan ke arahnya.

“Hish, kamu berdua ini. Takkanlah kamu berdua sanggup habiskan masa lapan jam di sini semata-mata hendak tengok-tengokkan aku? Kamu berdua ingat kamu berdua ini pengawal peribadi akukah?”

“Lebih kuranglah.” Pantas Ryan mencelah. Harris mengeluh lagi.

“Apa boleh buat? Kau sendiri pun sudah menjadi sasaran ramai orang. Sekurang-kurangnya, kami berdua perlu menjaga keselamatan kau.” Kata Kai.

“Tetapi, aku bukannya budak mentah lagi.”

“Tidak, kau memang mentah lagi. Aku rasa kau masih ada banyak lagi perkara yang belum kau ketahui.” Kai dengan tenang membantah kata-kata Harris itu.

“Kalau begitu, beritahu aku sekarang tentang apa yang perlu aku ketahui sekarang.”

“Aku pun tidak tahu.”

“Sempat lagi hendak bergurau dengan aku pula!” Harris membentak bengang dengan sikap Kai itu. Harris melepaskan keluhan ringan sekali lagi tanda mengalah dengan perdebatan antara dia dengan Kai.
          
         “Kamu berdua takkanlah tidak pernah terfikir hendak bersiar-siar di bandar Kuala Lumpur ini? Maksud aku, alang-alang kamu berdua berada di Bumi sekarang ini, gunalah peluang itu hendak bersiar-siar.”
   
          “Bukannya kami tidak mahu, tapi…”
          
         “Tapi apa?”
   
         “Kau tak pernah pun bagi kami duit. Macam mana hendak bersiar-siar?”
      
          “Aku pengecop duit kaukah?” bengang Harris dibuatnya. Keluhan sekali lagi dilepaskan. Kepalanya digeleng-gelengkan secara perlahan-lahan. Boleh biul dibuatnya kepalanya jikalau kerenah mereka terus dilayan.

“Apa-apa sajalah, kita boleh bincangkan berkenaan perkara itu di lain hari. Sekarang ini, aku hendak pergi makan tengah hari. Alang-alang itu, aku belanja kamu berdua sekalilah.” Kata Harris, yang melangkah lemah menuju ke kantin. Habislah duit poket aku untuk bulan ini, keluhnya dalam hati.

Ketika itulah, dia secara tidak sengaja melanggar bahu seorang lelaki berusia 30-an di hadapannya.

“Ah, maafkan saya.”

“Tidak mengapa. Perkara kecil sahaja.” Matanya sedang ralit meneliti Harris. Kemudian, dialihkan pandangannya kepada Ryan dan Kai yang menyusul di belakang Harris. Sebaik sahaja mereka bertiga berlalu dari situ, lelaki itu tersenyum menyeringai. Kelibatnya yang mencurigakan itu diperhatikan oleh Kai dari jauh.

15hb. Januari 2012, 2.30 petang.
         
      Di aras bumbung bangunan asrama pelajar, Kai dan Ryan hanya tegak berdiri di situ sedang memerhatikan keadaan di kolej itu. Ryan lantas menguap kebosanan. “Lambat lagikah?”
            
         “Sabarlah, baru pukul 2.30 petang. Kelasnya akan tamat dalam masa lebih kurang sejam setengah lagi.” Kata Kai, tenang.
    
         “Aku tidak menyangka pula dia boleh tahan terperap dalam kelas, belajar dari pagi sampai ke petang.”
         
       “Apa yang boleh dibuat? Sudah namanya pelajar. Kalau kau hendak tahu, beginilah cara hidup bagi manusia yang berumur sebaya dengannya. Selalunya manusia akan menghabiskan masa belajar hampir dua dekad. Ada juga yang lebih dari itu.” Kata Kai, memberi penerangan. Ryan tergamam dengan penerangan Kai itu.
   
        “Dua dekad? Itu pun yang kebiasaan? Aduhai, manusia di Bumi ini memang peliklah.” Kata Ryan, mengeluh.
            
             “Apa yang boleh dibuat? Cara hidup mereka di sini berlainan dengan kita.”
         
            “Di mana perbezaannya? Aku lihat semuanya sama sahaja.” jawab Ryan, acuh tak acuh.
     
          “Kalau di Bumi, siapa yang cerdik akalnya akan hidup dengan senang. Kita pula sebaliknya. Siapa yang kuat akan hidup dengan senang.”

            “Ada aku kisah? Memang aku tidak boleh menafikan lagi,untuk teruskan kehidupan, akal yang cerdik itu memang penting. Tetapi, diri sendiri pun kena kuat juga. Tanpa kedua-dua ini, susah untuk mereka hidup.” Kata Ryan, sambil menggeliat badannya yang lenguh.
            
             “Apa-apapun, aku ada satu perkara hendak ditanyakan kepada kau.”
         
            “Perkara apakah itu?”
     
            “Aku rasa kau mungkin pernah dengar berkenaan Cincin Fantasia, bukan?”

           “Oh, tentang itukah? Mestilah aku pernah dengar. Cincin Fantasia itu adalah cincin yang merealisasikan kuasa imaginari melalui proses projeksi kepada pemegangnya, bukan? Tetapi, kenapa kau tanyakan aku soalan itu dengan tiba-tiba?”
         
       “Kau tidak pernah terfikirkah bagaimana Harris mampu untuk teleportasikan dirinya sendiri dan bagaimana pula tahap kekuatan penumbuknya menjadi sangat tinggi sehingga Azhar mampu dikalahkan dengan hanya satu tumbukan sahaja semasa pertarungan kita baru-baru ini?” tanya Kai, cuba mengingatkan. Ryan mula berfikir, cuba diingatkan kembali dan ketika itulah dia menyedari akan sebuah kemungkinan.
             
             “Takkanlah…”
          
            “Ya, benar.”
      
          “Tetapi, sejak bila pula Harris pegang cincin itu?”

       “Dari dulu lagi, tersarung di jari manisnya.” Sekali lagi, Ryan cuba memanggil kembali memorinya, cuba diingati dan ketika itulah dia mengaku kebenaran kata-kata Kai.

      “Tapi, apa bukti kau cincin Harris itu merupakan Cincin Fantasia?” Ketika itulah, Kai mengeluarkan cincin Harris yang diambilnya secara senyap-senyap. Lantas, cincin itu dihulurkan kepada Ryan untuk diteliti. Ryan mula membelek-belek cincin itu dan ketika itulah dia mula tergamam.
      
          “Sama bukan?” Kai tersenyum, menyeringai.

        “Aku betul-betul tidak menyangka Harris menyimpan cincin ini. Tetapi, tunggu dahulu. Bukankah menurut kata lagenda, cincin ini dicipta oleh manusia Bumi yang dikenali sebagai Anuashim dan hanya dia dan mereka yang mempunyai perkaitan darah dengannya sahaja yang boleh menggunakan kuasa cincin itu, bukan?”

         “Cincin ini memang benar dicipta oleh Anuashim dan hanya dia dan darah dagingnya sahaja yang boleh menggunakan kuasa cincin itu. Dan, kenapa pula Harris boleh menggunakan kuasa cincin itu? Jawapannya mudah, Anuashim itu adalah ayah kepada Harris.” Penjelasan Kai itu membuatkan Ryan benar-benar tergamam.
             
            “Kau ada buktikah, Kai?” tanya Ryan.
        
      “Ini adalah gambar keluarga Harris yang sempat aku ambil dari albumnya secara senyap-senyap.” Gambar itu diserahkan kepada Ryan untuk diteliti. Reaksi yang sama terpancar dari wajahnya.  

         “Kenapalah aku merasakan perkara ini terlalu bagus untuk menjadi realiti?” kata Ryan, lemah sambil mengurut kepalanya yang tidak sakit.
         
       Ketika itulah, Kai mula terperasan kelibat lelaki yang mencurigakan itu muncul bersama-sama sekumpulan anak muda yang kelihatannya seperti orang bawahannya. Walaupun dia tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh lelaki itu, namun perasaan yang tidak senang di hatinya itu bukanlah sekadar mainan perasaan sahaja apabila dia mendapati beberapa staf kolej ditemui rebah, tidak sedarkan diri.

“Ada apa?” Ryan mula meninjau dari situ dan turut memberikan reaksi yang sama.
            
            “Ini masalah besar! Kai, apa yang kita patut lakukan?”
       
          “…Aku akan panggil Reila dan Adira datang ke sini. Tetapi sebelum itu, kita kena tenang terlebih dahulu dan fikirkan apa yang kita perlu lakukan. Kalau tersilap langkah, bukan saja Harris, nyawa orang lain pun akan turut sama terancam.” Kata Kai.

15hb. Januari 2012, 3.15 petang.

           Keadaan dalam bilik kuliah itu tidak ubah seperti berada di pasar tani apabila para pelajar sedang asyik berbual dengan teman-teman mereka. Namun, berlainan pula dengan Harris yang dari tadi tidak berganjak dari tempat duduknya. Entah kenapa, hari ini dia merasa begitu mengantuk.

                “Hei, tertidurkah?”

                Harris yang terkejut itu mula berpaling ke belakang dan mendapati yang membuat dia terkejut tadi itu adalah kawan baiknya, Arif.

                “Amboi, salam tak adakah?”

                “Baiklah. Salam sejahtera, saudara. Saya melihat saudara kelihatan lemah sahaja. Adakah saudara tidak sihat?” balas Arif, dengan nada sindiran.

                “Oh, sungguh mulia hati saudara kerana sangat mengambil berat akan saya. Saya cuma mengantuk kerana tidak cukup tidur semalam. Dan kerana saudara sedang cuba mengenakan saya balik tetapi tak berhasil, saudara berjaya membuatkan saya merasa lagi mengantuk.” Kata Harris, membalas kembali sindirannya sambil menguap dengan sengaja. Arif mula ketawa kecil.

                “Baiklah, sudah-sudahlah itu. Rasa janggal pula dibuatnya. Kenapa tidak cukup tidur? Kau terlebih bekerjakah?”

                “Bukanlah, aku cuma…” Perbualan mereka terganggu apabila seorang lelaki berusia 30-an yang tidak mereka kenali masuk ke dalam kelas itu dengan tenang.

                “Encik ini siapa? Pensyarah gantian kamikah?” tanya salah seorang dari mereka. Namun, ketika itulah, sekumpulan pemuda tiba-tiba memecah masuk ke dalam kelas itu. Harris kehairanan dan entah mengapa dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

  Ketidaksenangan hatinya itu menjadi lebih jelas apabila salah seorang pemuda dari mereka itu dengan tiba-tiba membebaskan percikan api yang kuat ke arah mereka. Harris terkejut. Tidak syak lagi! Mereka semua merupakan Esper-Type Imagineer seperti dirinya.
             
         Keadaan mula menjadi gawat apabila suara teriakan dari para pelajar dalam bilik kuliah itu mula membingit. “Diam! Aku cakap diam! Dengar sini, kami adalah kumpulan pengganas Reality Killer. Sekarang ini, seluruh kawasan kolej ini berada dalam tangan kami! Jangan berani bertindak di luar batasan kalau tak mahu nyawa kalian terancam!” Lelaki itu akhirnya bersuara, sambil tersenyum menyeringai.
        
          “Sekarang ini, serahkan kesemua gajet-gajet kalian – telefon bimbit, komputer riba dan lain-lain.  Ingat, jangan berani melawan kalau mahu hidup lebih lama lagi!” bentak lelaki itu, memberikan amaran. Tanpa sebarang pilihan, mereka semua terpaksa menyerahkan kesemua gajet mereka. Kemudiannya, mereka diberi arahan untuk berkumpul di belakang bilik mereka.

Harris pada ketika itu menyalahkan dirinya dalam diam. Kalaulah dia boleh menggunakan kuasanya sepertimana pada pertarungan yang lepas, pasti dia boleh selamatkan mereka semua. Ketika itulah, wajah Kai, Ryan, Reila dan Adira menjelma di mindanya. Harris berharap mereka akan segera datang menyelamatkan mereka semua.


15hb. Januari 2012, 5.00 petang.
          
      Keadaan menjadi lebih gawat di luar kawasan Kolej Multimedia TM dengan kehadiran banyak kereta peronda polis bersama-sama sekumpulan besar pasukan polis. Tidak kurang juga, dengan kehadiran orang ramai yang cuba meninjau apa yang berlaku. Kai dan Ryan hanya diam memerhati keadaan itu dari aras bumbung bangunan asrama pelajar itu.

      “Aku ingatkan apabila keadaan makin meruncing, makin ligat kaki mereka hendak lari menyelamatkan diri.”

               “Kebanyakan manusia di Bumi ada sifat ingin tahu yang kuat, apa boleh dibuat?”

                “Aku tidak tahulah sama ada aku hendak katakan mereka ini pelik ataupun sengaja cari maut. Kau sudah hubungi Reila?” Kata Ryan, sambil mengeluh.

                “Ya. Katanya dia akan sampai…” Belum sempat Kai menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba Reila dan Adira mendarat betul-betul di hadapannya.  

                “Cepat kau sampai.” Kata Kai, pendek.

                “Saya pun risaukan Harris.” Balas Reila.

              “Tetapi, aku tidak sangka pula Adira ini berani orangnya. Aku lihat kau seperti tiada masalah datang ke sini dengan bantuan seruan angin Reila?” Ryan tersenyum, nakal.

              “Alah, apa yang perlu ditakutkan. Lagi seronok adalah!” Adira tersenyum panjang bersendirian, Dia merasa sungguh teruja kerana diberi peluang merasai pengalaman itu. Mereka bertiga cuba menahan ketawa mereka. Wajah Adira mula bertukar merah menahan malu melihat reaksi mereka yang sedang mentertawakan dirinya.

           “Maaflah. Maklumlah, saya ini bukannya seperti kamu semua. Apa yang pelik bagi saya, kamu semua merasakan ianya perkara biasa. Inikan realiti, mana ada orang boleh terbang dengan meluncur atas angin.” Kata Adira, geram. 

           “Apa-apapun, ini bukan masanya untuk kamu semua ketawa. Kita kena selamatkan Harris dan yang lain-lain.” Kata Adira, menambah.

             “Sebelum itu, kita kena fikirkan cara untuk selamatkan Harris terlebih dahulu.” 
   
        “Sepertinya kau sudah mempunyai rancangan, Kai.” Mendengar kata-kata Ryan itu, Kai mula tersenyum, menyeringai ke arahnya.

No comments:

Post a Comment