Monday 23 January 2012

ZERO Arc ~Bab 3~

BAB 3

                Seorang remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan tiga belas tahun itu sedang tekun melukis di atas sekeping kertas lukisan. Sambil melukis karakter animasi kegemarannya itu, dia tersenyum lebar. Barangkali bangga dengan hasil kerjanya. 

“Wah, pandainya Harris melukis.” Puji Encik Anuar yang sedang melihat anak lelakinya itu melukis. Dia tersenyum lebar, turut sama bangga dengan hasil kreativiti Harris. Melihat senyuman lebar ayahnya itu, perasaan teruja mula menebal dalam diri Harris.

“Papa, Harris sudah buat keputusan. Harris mahu menjadi seorang pelukis komik seperti Papa.” Kata Harris, bersemangat. 

“Oh begitukah? Baguslah kalau Harris sudah ada cita-cita sendiri. Tetapi, Harris kena ingat. Hendak menjadi seorang pelukis komik bukan senang. Selain kena pandai melukis, cerita yang Harris lukis itu mesti menarik dan berisi, kalau tidak, orang tak akan baca komik Harris. Oleh itu, Harris kena belajar rajin-rajin dan banyak membaca supaya ia memudahkan Harris untuk memikirkan jalan cerita yang bagus. Harris faham?”

Harris lantas mengangguk, faham dengan penjelasan ayahnya. “Bagus. Macam inilah anak Papa. Harris sudah siapkan kerja sekolah?” tanya Encik Anuar.

“Alamak! Belum lagilah, Papa. Harris terlupa.” Encik Anuar menggelengkan kepalanya.

“Hmm, anak dengan bapa sama saja. Bapa borek, anak rintik.” Kata Puan Lydia yang tiba-tiba mencelah dalam perbualan mereka. Lantas, mereka bertiga ketawa terkekek-kekek. 

14hb. Disember 2011, 11.30 pagi.
            
Harris baru sahaja sedar dari tidurnya, kemudian dia mengelamun seketika terkenangkan mimpi tadi. Tangan kanannya lantas dihalakan ke atas, menunjukkan cincin yang tersarung manis di jari manisnya. Cincin itu merupakan cincin peninggalan arwah ayahnya yang diwarisi kepadanya. Melihatkan cincin itu, dia lantas teringatkan kedua-dua orang tuanya. “Mama… Papa…” katanya dengan nada yang lemah.

Matanya kemudian beralih ke jam dinding dalam kamarnya. Pukul 11.30 pagi. Harris sedikit terkejut. Tak sangka dia terlajak tidur setelah solat Subuh pagi tadi. Harris lantas mematikan suis alat penghawa dingin dan keluar dari biliknya bersama kain tuala tersarung di bahunya. Ketika itulah, dia perasan kelibat Kai yang sedang nyenyak tidur di atas sofa bersama seorang lagi lelaki yang tidak dikenali. Ketika itu, Harris terkejut, dan badannya sedikit menggigil.
            
           “Ishh, macam mana pula Kai boleh selamba sahaja tertidur di situ?” Harris berkata dalam hatinya. Dia kemudiannya melangkah perlahan ke arah Kai.

“Kai. Kai. Bangun. Ada pencuri.” Harris menggoyangkan badan Kai. Kai kemudiannya tersedar dari tidurnya.
            
           “Kau melalutkah?” Kata Kai, dengan nada sedikit tinggi. Barangkali marah kerana tidurnya terganggu.
       
           “Sekarang bukan masa untuk kau tidurlah. Ada pencuri tengah tidur di sebelah kau.” Katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang lelaki bertubuh besar dan sasa sedang nyenyak tidur di sebelah Kai. Kai hanya memandang kosong ke arah lelaki itu dan kembali melihat ke arah Harris dengan kehairanan . Dia kemudiannya melepaskan keluhan ringan.
  
           “Eh? Kenapa?”
           
           “Aku tak sangka pula kau yang terlebih tidur ini pun boleh mengigau.” kata Kai, tenang.
      
           “Eh?” Harris masih lagi kebingungan. Kai sekali lagi melepaskan keluhannya, namun kali ini lebih panjang dari tadi. “Itu Ryan, bukannya pencuri!” bentak Kai, sedikit marah.
   
           “Ryan?” Tiba-tiba, Harris dapat merasakan badannya terapung, seperti diangkat. Harris terkejut apabila melihat Ryan sedang mengangkat badannya, tenang dan sekadar merenung kosong ke arahnya tanpa berkata apa-apa.
           
“Ryan?”

“Ya, memang aku. Kau ada apa-apa masalahkah sehingga nama aku disebut berkali-kali?” tanya Ryan, kehairanan.

“Apalah, Ryan rupanya. Maafkan aku, aku salah orang rupanya.” Harris berpura-pura ketawa menyembunyikan salah fahamnya itu tadi.

 “Ryan, turunkan aku cepat. Bagaimana pula kau dengan selamba sahaja boleh angkat badan aku macamlah aku ini tak berat sangat? Kau terlebih minum ubat kuatkah?” tanya Harris, kehairanan.
            
            “Aku tidak tahu sama ada aku hendak katakan kau ini pelupa ataupun sudah nyanyuk. Kau sendiri yang lukis aku, takkanlah kau sendiri pun boleh lupa?”

 Fikiran Harris lantas difokuskan, cuba mengingati kembali. “Oh ya, baru aku teringat. Rupa kau akan bertukar menjadi manusia bila waktu siang dan bertukar kepada rupa serigala jadian pula pada waktu malam. Disebabkan kau mempunyai darah kacukan serigala jadian, kau mempunyai kekuatan, kepantasan dan deria panca indera bertaraf manusia super!” Harris ketawa kecil, merasa malu dengan sikap pelupanya yang tidak bertempat itu. Ryan lantas meletakkan Harris kembali di atas sofa.
            
            “Kenapa sampai boleh jadi begini?” Ryan bertanya.
        
            “Maaflah, aku betul-betul lupa. Biasalah itu. Kalau aku terlupa akan sesuatu perkara, itu perkara biasa.” Kata Harris, sambil ketawa berpura-pura.

“Ataupun kau sebenarnya tidak mahu mengaku yang kau tak pernah peduli pun berkenaan perkara itu?” tanya Kai, menyindir. Ryan mengangguk, bersetuju.

“Dan boleh aku tahu sejak bila kau berdua berpakat hendak kenakan aku, hah?” bentak Harris marah, menyedari bahawa dirinya sedang diperlekehkan.

“Oh ya. Kalau difikirkan balik, badan kamu berdua pun memang betul-betul dalam bentuk fizikal, bukan?” Harris lantas cuba mencubit lengan mereka berdua. Mereka berdua hanya memandang Harris dengan kehairanan.

“Senjata pula?” Jari Harris kemudiannya menyentuh pedang mekanikal milik Kai.
            
            “Wah, ini memang senjata yang benar! Aku ingatkan kamu berdua ini hanyalah data virtual yang wujud di dunia realiti disebabkan kewujudan barang-barang elektrik dan elektronik di sini.” Harris hanyut dalam buah fikirannya sendiri sambil membebel bersendirian. Mereka berdua terus memandang Harris dengan kehairanan.
           
           “Betulkah budak ini pelukis kita?” tanya Ryan yang mula kelihatan risau sambil mengeluh ringan. Kai sekadar mengeluh panjang.
      
           “Tak guna juga hendak dirisaukan pun. Dia pun bukannya matang sangat pun. Tetapi, dia tetap Imaginary Creator kita dan hakikat itu memang tak boleh dinafikan lagi.” Kata Kai, tenang.

Ketika itu, dia terlihat sebentuk cincin yang tersarung kemas di jari manis tangan kanan Harris itu. Entah kenapa, dia merasakan dia pernah melihat cincin itu di mana-mana. Tetapi, perasaan itu segera hilang apabila dia terfikirkan kemungkinan itu hanyalah mainan perasaannya sahaja.
            
          Lagu Mami Kawada – Masterpiece berdering pada telefon bimbit milik Harris. Panggilan dari Adira. Dia segera mencapai telefon bimbitnya itu dan menjawab panggilan.

          “Hello, Adira? … Ada apa? … Buka siaran TV3? … Baik.” Harris kemudiannya menghidupkan televisyennya dan menukar siaran TV3. Rancangan Berita Terkini mula disiarkan.
          
          “Selamat pagi. Saya Azreena Afzan, melaporkan berita terkini. Awal pagi tadi, satu mayat ditemui di belakang sebuah bangunan rumah kedai di sekitar kawasan Taman Melati. Mayat itu ditemui dalam keadaan yang mengerikan di mana kepalanya ditemui hancur bagaikan dicengkam dengan kuat. Yang lebih mengerikan, organ otaknya turut sama hilang tidak ditemui.” Ketika itu, mereka bertiga mula menumpukan perhatian kepada berita itu.
    
          “Mangsa dikenali sebagai Ahmad Hadi bin Zamri, berusia 23 tahun dan berasal dari Taman Gombak Setia.” Apabila gambarnya disiarkan, mereka bertiga terkejut besar kerana mereka amat mengenali wajah itu. Wajah itu merupakan wajah pemuda yang bertarung dengan mereka semalam.

“Identiti itu telah dapat dikenalpasti oleh pihak forensik setelah ujian siasatan dilaksanakan. Menurut siasatan, Hadi juga telah menghilangkan diri sejak beberapa minggu yang lalu. Pihak polis mengesahkan kes ini mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan bersiri yang berlaku sejak beberapa bulan lepas. Identiti pembunuh walau bagaimanapun masih belum dapat dikesan. Oleh kerana itu, pihak polis menggesa kepada kesemua masyarakat agar sentiasa berwaspada apabila berada di luar.” Laporan berita itu berakhir di situ. Harris segera mematikan televisyen itu dan mengeluh panjang. Keadaan dalam rumah itu kembali bertukar sunyi.
            
             “Kai, kau pastikah setiap mereka yang kalah dalam pertarungan akan menerima nasib yang sama seperti Hadi?” tanya Harris tiba-tiba.
         
             “Jujur aku katakan, aku sendiri pun tidak tahu jikalau perkara itu adalah benar ataupun tidak. Tetapi, kemungkinannya sangat tinggi.” Kata Kai, tenang. Ketika itulah, Harris hanya mampu mengetap kuat giginya menahan amarah yang sedang meledak dalam hatinya.
      
          “Sudah-sudahlah itu. Tidak guna kalau hendak marah sekalipun. Perkara sudah terjadi.” Kata Kai.  


          “Aku akan siasat siapa dalang semua ini dan aku akan pastikan dia terima balasan setimpalnya. Aku benar-benar berharap kalian boleh tolong aku. Aku akan menjadi lebih kuat suatu hari nanti. Mungkin aku masih lagi lemah sekarang, tetapi aku akan pastikan tiada siapa akan cedera lagi. ” kata Harris.

“Adakah kau pasti?” tanya Kai, tiba-tiba.

“Apa maksud kau?”

“Apa yang dia maksudkan, untuk menjadi lebih kuat, kau akan hadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Kami tidak kisah hendak menolong kau. Tetapi, adakah kau sanggup menghadapi semua itu? Apa yang kau inginkan itu bukan mudah untuk dicapai.” kata Ryan, menjelaskan kepada Harris.

“Ya, aku sanggup! Hanya kita berlima sahaja yang boleh menghalang semua ini, bukan?  Jadi, aku tidak ada sebab untuk larikan diri!” kata Harris dengan bersemangat.

“Kalau begitu, baguslah. Aku harap kau tak melarikan diri.”

“Kalau kau larikan diri pun, aku dengan Kai akan pastikan kau akan tetap berpegang pada janji kau.” Kata Ryan, sambil tersenyum nipis.

Tiba-tiba, telefon bimbit Harris sekali lagi berdering. Panggilan dari Adira.

“Hello. Ada apa, Adira?”

“Harris, awak harus datang ke KLCC sekarang juga! Ada Imagineer sedang membuat kecoh di sini!” jerit Adira dalam talian. Jeritannya yang membingitkan itu sedikit mengejutkan Harris.  

 “Adira, tenang dahulu. Awak sudah dapat mengenalpasti abiliti diakah?” tanya Harris.

“Saya sendiri pun tidak tahu, Harris. Tetapi, keadaan di sini memang benar-benar tak terkawal.”  

“Adira, kalau saya hendak ke sana pun, saya perlukan masa sekurang-kurangnya 20 minit dengan LRT. Dan, saya mungkin mengambil masa lebih lama sedikit disebabkan keadaan yang kecoh di situ.” Jelas Harris.

“Kalau begitu, saya dan Reila akan cuba untuk mengawal keadaan semampu yang boleh. Sementara itu, awak kena datang ke sini secepat mungkin. Saya tidak mampu hendak bayangkan lagi jikalau keadaan menjadi lebih parah.” Kata Adira.

“Baik, saya faham. Kamu berdua berhati-hati. Kami akan ke sana dengan secepat mungkin.” Harris lantas mematikan panggilannya.
            
            “Kau pergikah?” tanya Ryan.
           
            “Mestilah aku akan pergi. Takkanlah aku hendak memungkiri janji pula?” bentak Harris, sedikit marah.
           
            “Tetapi, sebelum itu…”
           
            “Apa?”
       
            “Pergi mandi dulu. Kau mahu Adira melihat rambut kau yang kusut-masai itu?” Jari Kai menunjuk ke arah rambut Harris yang kusut-masai itu.
   
            “Jangan lupa, bekas air liur basinya pun ada lagi di bibirnya.”
            
           “Kau tidak cakap pun aku tahulah!” Harris lantas berlari ke bilik air dan menghempas pintu dengan kuat tanda geram. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak.

14hb. Disember 2011. 12 tengah hari.

Keadaan di dalam kompleks Suria KLCC itu menjadi sangat kecoh apabila orang ramai yang berada dalam premis itu berlari laju ke arah pintu keluar diselangi dengan jeritan yang kuat bagaikan diserang histeria. Kelihatan seorang lelaki yang berambut panjang sedang ketawa terbahak-bahak yang hanya berdiri tenang tatkala keadaan dirasuki ketakutan yang teramat.
            
           Ketika itulah, kelibat Adira dan Reila muncul di hadapannya. Lelaki itu kehairanan dengan sikap mereka yang kelihatan tenang bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. “Hoi, pergi larilah! Sudah tidak sabar hendak matikah?” tanya lelaki itu dengan nada yang mengancam.
           
          “Yang patut mati sekarang ini adalah kau!” Adira lantas melepaskan serpihan ais tajam bertubi-tubi ke arah lelaki itu. Namun, lelaki itu tiba-tiba hilang entah ke mana. Mereka berdua terkejut.
     
           “Teleportasi?”

           “Aku di sini!” Lelaki itu bersuara dari belakang. Adira mula cuak apabila lelaki itu cuba menyerang. Namun, pedang panjang Reila sempat menghalang percubaan lelaki itu dan menolak lelaki itu belakang. Lelaki itu sekali lagi menghilangkan diri.
           
           Adira dan Reila mula mendekati antara satu sama lain. Mata mereka melilau di persekitaran mereka mencari kelibat lelaki itu.
      
           “Aku kata aku di sini! Kalian pekakkah?” Tempikan suara lelaki itu dapat mereka dengar dari atas. Percubaannya untuk menendang mereka berdua dari atas gagal apabila tindakan refleks mereka berdua yang lincah membantu mereka untuk mengelak dengan cepat. Adira sekali lagi membebaskan serpihan ais tajam dari tangannya. Lelaki itu walau bagaimanapun masih lagi kekal menggunakan strategi yang sama.

           “Cis! Kalau keadaan berterusan begini, entahkan bila agaknya kita boleh menang?” bentak Adira, geram.
           
           “Adira. Tenang.” Reila lantas menutup matanya dan mula menumpukan perhatiannya. Dengan cara itu, adalah lebih mudah untuknya mengesan kedudukan musuh. Angin adalah elemennya dan jika ada pergerakan, dia pasti boleh merasai deruan angin itu walau selemah mana sekalipun.

Ketika itulah, lelaki itu muncul dari belakang dan sekali lagi menggunakan strategi yang sama. Namun begitu, Reila sempat menepis tendangannya dan melakukan pusingan 360 darjah di udara lantas memberikan tendangan yang tepat di wajahnya. Lelaki itu mula hilang keseimbangannya.
            
           “Adira!” tempik Reila, memberikan isyarat. Adira menyasarkan targetnya ke arah lelaki itu dan membebaskan serpihan ais ke arahnya. Targetnya mengena dan lelaki itu menerima kecederaan. Adira lantas melepaskan nafas lega.
                 
          “Sekarang ini bukan masanya untuk kau merasa lega.” kata lelaki itu. Adira dan Reila tergamam melihat lelaki itu yang masih lagi mampu berdiri tegak walaupun sesudah menerima impak kecederaan sekuat itu.
          
          “Aku rasa aku terlalu memandang rendah dengan kamu berdua ini. Baiklah. Kalau itu yang kalian mahukan, kali ini aku akan berlawan dengan lebih serius.” Lelaki itu lantas mengeluarkan pistolnya dan melepaskan das tembakan ke arah Adira. Walaupun Adira sempat mengelak, namun entah bagaimana peluru pistol itu dengan tiba-tiba muncul di hadapannya dan membenam masuk ke dalam paha kanannya.

          Adira lantas tersungkur ke tanah lantas merasakan kakinya itu mulai kebas sambil menjerit menahan kesakitan. Darah semakin kuat mengalir keluar dari pahanya itu. Lelaki itu hanya tersenyum sinis memandang Adira.
        
         “Adira!” Terkejut Reila tatkala melihat kecederaan Adira itu lantas berlari ke arahnya untuk membantu. Namun ketika itu, beberapa pasu besar tiba-tiba muncul di hadapannya bagi menghalang niatnya itu. Tidak mempunyai pilihan lain, Reila lantas mengeluarkan pedang panjangnya dan membelah setiap pasu besar itu.
       
         “Bagaimana pasu-pasu ini tiba-tiba boleh ada di hadapan aku tadi?” Reila mula kehairanan namun mindanya ligat berfikir mencari jawapan sehingga dia mendapat andaiannya sendiri.

         “Takkanlah!”
         
         “Ya. Maaflah kerana tidak berlawan dengan serius tadi, tetapi inlah kelebihan sebenar aku. Aku bukan sahaja boleh teleportasikan diri aku sendiri, tetapi, aku pun boleh teleportasikan barang-barang lain.” Lelaki itu lantas ketawa terbahak-bahak dan melenyapkan dirinya.
        
        Reila yang terdorong dengan rasa geram mengejar lelaki itu yang teleportasikan dirinya sendiri di tingkat atas, meninggalkan Adira bersendirian di situ. Adira hanya mampu menahan sakit di pahanya yang teramat dengan peluh keringat yang semakin laju mengalir di wajahnya itu. Ketika itulah, Harris, Kai dan Ryan muncul di situ. Terkejut melihat Adira yang kesakitan itu, Harris lantas mendapatkannya.

          “Adira, awak tak apa-apa?” cuak Harris apabila melihat keadaan Adira itu.
                 
          “Awak jangan risaukan saya. Lebih baik awak pergi kejar Reila di tingkat atas. Dia tengah berlawan dengan lelaki itu seorang diri.” kata Adira, lemah.
          
          "Kai. Ryan. Kamu berdua pergi terlebih dahulu. Aku akan menyusul kemudian.” Kata Harris, mengarah.
    
            “Baiklah.” Kata Kai, pendek. Mereka berdua lantas bergegas menuju ke tingkat atas.

           Harris tergamam seketika apabila melihat darah Adira yang tidak berhenti-henti mengalir laju di paha kanannya itu. Adira pula mula kelihatan lemah, barangkali kerana terlalu banyak kehilangan darah.

Harris yang terdesak pada ketika itu lantas menggigit bajunya dan mengoyakkan sedikit kain dan diikat pada paha Adira yang luka itu.
            
          “Saya akan hentikan aliran darah awak, Adira. Tetapi, saya mahu awak tahan sedikit.” Dengan perlahan dan penuh berhati-hati, Harris lantas mengikat kemas simpulannya itu. Adira menjerit menahan sakit. Tidak berapa lama kemudian, Harris selesai melakukan apa yang patut bagi menghentikan pengaliran darah itu.

         “Baiklah, sudah beres.” Adira menarik nafas lega. Ketika itulah, sepasukan polis tiba dan meluru ke arah mereka berdua.
         
         “Kamu berdua tak apa-apa?” Salah seorang dari mereka bertanya.
 
        
“Saya tak apa-apa tetapi kawan saya ini tercedera ditembak. Tolong panggilkan ambulans dengan segera.” Harris lantas berlari meninggalkan mereka di situ.

“Nanti!” Jerit polis itu apabila melihat Harris berlari meluru ke tingkat atas sendirian, namun Harris tidak mengendahkannya malahan terus berlari mencari kelibat mereka bertiga.

Kai, Reila dan Ryan mula kelihatan penat. Dari tadi mereka berlawan, namun setiap serangan  mereka gagal untuk mencederakan lelaki itu.

“Cis, selagi aku tak boleh bertukar ke bentuk serigala jadian, susah untuk aku mengesan kedudukannya.” Kata Ryan, geram.
            
          “Takkanlah kalian selemah ini? Heh, sungguh aku tidak sangka si Hadi boleh kalah dengan kamu bertiga. Tetapi apa yang boleh dibuat, dia memang lemah pun.” Lelaki itu ketawa terbahak-bahak.
      
          “Jadi, memang benarlah kau mempunyai perkaitan dengan dia. Beritahu kami siapa yang mengarah kau?” tanya Kai, sambil meluru ke arah lelaki itu dengan pedangnya. Ketika targetnya hampir mengena, lelaki itu melenyapkan dirinya. Dari belakang, perabot-perabot berat muncul dengan tiba-tiba. Namun, nasib baiklah Kai cekap mengelak.

          “Kamu ini tidak belajar adabkah? Begitukah caranya hendak berkenalan dengan orang?” Lelaki itu ketawa terbahak-bahak, mengejek Kai.
          
         “Oh, maaflah. Aku bukannya orang yang ambil kisah tentang adab pun.” Kata Kai, tenang menyindir kembali. Lelaki berambut panjang itu hanya tersenyum menyeringai ke arah Kai sambil ketawa kecil.
    
         “Baiklah. Memandangkan kamu bertiga hendak sangat tahu nama aku, aku akan perkenalkan diri aku. Nama aku Azhar. Tetapi, tak perlulah kalian hendak tahu siapa tuan aku.” kata Azhar, melenyapkan dirinya dan muncul di hadapan Reila. Reila tergamam, namun nasib baiklah Ryan sempat menumbuk wajahnya. Lantas, Azhar terpelanting dari situ.
         
       “Kau jangan lupa yang aku pun ada di sini!” bentak Ryan, tegas.

       “Cis… berani kau! Berani kau sentuh aku!”
       
         “Kai! Ryan! Reila!” Harris tiba-tiba muncul di belakang mereka sedang termengah-mengah mengambil udara.

          “Harris!”
          
         “Bodoh! Apa kau buat di sini? Kau sedarkah kau tidak boleh berlawan dengan sendiri? Jangan rumitkan lagi keadaan!” kata Kai, mula risau.
   
         “Oh, jadi budak itulah Harris. Summon-Type Imagineer. Budak lemah seperti dia ini ada abiliti sejarang itu?” Lelaki itu lantas ketawa terbahak-bahak, mentertawakan Harris.

         “Ah, buat apa aku perlu risaukan tentang perkara yang remeh itu? Aku akan pastikan aku akan dapatkan otak kau itu!” Ketika itulah, perabot-perabot berat yang banyak muncul dari atas dengan tiba-tiba. Harris tergamam, dan kakinya bagaikan kaku.
         
         “Harris!” Mereka bertiga lantas berlari mara ke depan untuk membantu. Namun, mereka terlambat apabila kesemua perabot itu menghempap Harris di depan mata mereka sendiri. Mereka bertiga tergamam.
        
         “Harris!” Reila menempik bagaikan terkena histeria, tidak dapat menerima kenyataan. Dengan lajunya, air mata Reila mengalir. Kai dan Ryan hanya mampu menggenggam penumbuk mereka masing-masing. Kecewa kerana tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelamatkan Harris.
         
        “Siapa sangka kerja aku boleh dibereskan dengan semudah ini? Terbaik! Tuan pasti akan  merasa bangga dengan aku!” Lelaki itu ketawa mengilai-ngilai, mula berbangga dengan kemenangannya itu.

         Namun, ternyata kemenangannya itu hanyalah singkat. Ketika itulah, Harris memunculkan dirinya di sebalik perabot-perabot yang menggunung banyak itu. Mereka berempat tergamam dengan kemunculan Harris itu.
         
          “Tidak perlulah hendak merasa gembira sangat. Lagipun, aku tidak selemah seperti yang kau sangkakan.” Mereka bertiga merasa lega dengan kemunculan Harris itu. Harris sendiri tidak dapat menyangka kesemua perkara itu terjadi.

Sedang Harris sibuk mencari puncanya, Azhar bertindak melenyapkan dirinya dan muncul dengan tiba-tiba di hadapannya. Harris walau bagaimanapun turut sama melenyapkan dirinya dengan tiba-tiba dan muncul di belakang Azhar. Tergamam Azhar dibuatnya, namun badannya seolah-olah kaku untuk mengelak serangannya itu dan ketika itulah, dia dapat merasakan kesakitan yang amat di wajahnya apabila ditumbuk kuat oleh Harris.

Entah kenapa, daya tumbukannya itu menjadi sungguh kuat hingga lelaki itu terpelanting jauh dari situ dan mengalami cedera parah. Barangkali benar amarah manusia mampu bertukar menjadi kekuatan mereka sendiri.
             
             Azhar cuba berdiri namun ternyata tenaganya yang kian susut tidak mengizinkan. Lantas, dia jatuh pengsan di situ. Badan Harris turut sama merasa lemah dan ketika itulah dia merasakan pandangannya menjadi gelap.

17hb. Disember 2011. 4.30 petang.

Pandangan Harris kembali terang dan ketika itulah dia menyedari dirinya kini berada di tempat yang sangat berlainan dari tadi. Kesemuanya putih. Hospital? Harris turut menyedari ada beberapa kain balutan kemas di beberapa anggota badannya.

Ketika itulah, minda Harris mula terawang-awang penuh persoalan. Sejak bila aku datang ke sini? Aku sakitkah? Dalam kehairanan itu, tiba-tiba, pintu wadnya terkuak dan dia melihat kelibat Abang Mat bersama isterinya, Kak Laila. 
            
          “Harris? Kamu sudah sedar? Syukurlah, bagaimana dengan keadaan kamu? Kamu tidak apa-apa?” Bertubi-tubi soalan ditanya oleh Abang Mat yang sedang merisaukan keadaan Harris. Hatinya merasa sedikit lega kerana Harris sudah pun sedar.

         “Tenanglah sedikit, abang. Bukankah doktor sudah cakap yang Harris cuma cedera ringan sahaja?” Kata Kak Laila, cuba menenangkan Harris.
                
         “Adira di mana?”
        
        “Oh, tentang gadis itu, Harris jangan risau. Nasib baik dia selamat. Peluru di paha kanannya berjaya dikeluarkan. Tetapi, dia harus tinggal di hospital untuk sementara waktu.” Jelas Abang Mat. Harris mula menarik nafas lega.
    
        “Harris, Abang Mat hendak tanya satu soalan. Macam mana Harris boleh ada di KLCC ketika pengganas ada di situ?” tanya Abang Mat, yang masih lagi risau.
        
        “Abang Mat, Harris sendiri pun tidak boleh hendak menjangka bagaimana pengganas itu boleh ada di situ. Tetapi, syukurlah, ada orang berjaya kalahkan pengganas itu.” Kata Harris, berbohong.

       Takkanlah dia mahu katakan dia yang kalahkan lelaki berambut panjang itu? Mimpilah! Sampai bila-bila pun Abang Mat tidak akan percaya. Lebih parah jika dia terpaksa mendengar ceramah percuma Abang Mat kerana terlalu taksub dengan dunia anime Jepun dan permainan video.
        
        Ketika itulah, Adira bersama-sama dengan Kai, Reila dan Ryan muncul. Abang Mat dan Kak Laila sedikit cuak dan kehairanan apabila melihat kelibat mereka bertiga. Lebih menghairankan lagi apabila mereka merasakan Kai dan Ryan kelihatan terlalu tua untuk menjadi sahabat Harris. Abang Mat mula diselubungi perasaan curiga.
       
        “Abang Mat dan Kak Laila tidak perlulah risau. Mereka semua ini kawan Harris.” Kata Harris. Abang Mat dan Kak Laila mula memandang antara satu sama lain. 

           “Harris seriuskah? Takkanlah dua orang lelaki ini kawan Harris? Yang seorang ini berbadan besar dan sasa, macam ahli gusti terkemuka! Seorang lagi pula…” kata-kata Abang Mat lantas terhenti di situ apabila Kak Laila lantas mencubit pipi Abang Mat dengan kuat. Abang Mat mula mengaduh, menahan kesakitan.

           “Maaflah ya. Suami kakak memang gemar melalut tidak bertempat.” Mereka semua memandang Kak Laila dengan penuh ketegangan, tergamam dengan perubahan sikapnya yang kelihatan sungguh sopan tadi. Walaupun wajah wanita itu kekal tersenyum manis, tetapi entah kenapa Harris dapat merasakan ada aura gelap yang sedang menyelubungi dirinya itu.

           “Akhirnya, sudah keluar personaliti yandere Kak Laila.” Katanya dalam hati sambil menggigil ketakutan.

“Abang Mat, mereka ini kawan Harris. Kawan cosplay.” Kata Harris. 

            Cosplay? Yang memakai pakaian karakter anime dan permainan video itukah?” tanya Abang Mat, sambil menggosok-gosok pipinya menahan pedih. Harris mengangguk, sambil tersenyum kecil.

          “Sebab itulah, Harris cakap jangan risau. Abang Mat selalu begitu. Fikir jauh melampau.” kata Harris. Abang Mat sekadar ketawa kecil, mengenangkan kebodohan dirinya sendiri. 

           “Maaf. Baiklah, Abang Mat pun sudah kena pergi sekarang. Abang harus pergi uruskan restoran abang itu. Abang datang sini pun kerana hendak tengok keadaan Harris sahaja. Selepas ini, Abang Mat bawakan masakan istimewa untuk Harris dan kawan-kawan Harris, ya? Baiklah, Abang Mat dan Kak Laila pergi dulu!” Abang Mat dan Kak Laila lantas keluar dari wad itu.

          “Pakaian pelik?” Reila kelihatan kecewa.

         “Aku dapat rasakan maruah aku tercalar…” kata Ryan sambil menahan dirinya dari menumbuk dinding hospital itu. Namun Kai hanya kelihatan tenang tak berkata apa-apa. 

         “Oh ya, Adira. Bagaimana dengan keadaan awak?”

          “Awak tidak perlu risaukan berkenaan perkara itu. Saya baik-baik sahaja. Cuma pedih sedikit.” Harris mula melepaskan nafas lega. 

         “Baguslah awak selamat.”
               
         “Oh ya, mereka berdua itu siapa?” tanya Adira.
         
         “Ah, mereka itu penjaga saya.” Kata Harris.
  
         “Penjaga? Habis itu, ibu ayah awak pula di mana?” Soalan Adira itu tiba-tiba membuatkan wajah Harris bertukar sugul.
         
       “Entah, saya pun tidak tahu.” kata-kata Harris itu membuat mereka semua kehairanan.
                
       “Apa maksud awak? Saya tak faham.”
      
       “Ibu bapa saya menghilangkan diri setelah berlakunya kemalangan udara tahun lepas. Tidak ada satu pun yang terselamat dari kemalangan itu. Tetapi, entah bagaimana mayat mereka tidak ditemui oleh pihak polis. Entahkan mereka sudah mati ataupun masih hidup, saya pun tidak pasti.” Jelas Harris. Ketika itulah, Adira mula terdiam. Rasa bersalah menyelubungi dirinya.
       
        “Maaf. Saya tidak patut tanya soalan itu.” Kata Adira, lemah. Harris hanya ketawa kecil.

          “Awak jangan risaulah. Saya sudah biasa. Oh ya, saya lupa hendak bertanya, macam mana dengan lelaki berambut panjang itu?” tanya Harris.

          “Baru sahaja tadi pihak polis sudahpun menjumpai mayatnya.” Kata Adira. Harris terkejut. 

           “Tadi? Apa yang awak maksudkan ini? Bukankah baru saja tengah hari tadi kita berlawan dengan dia?”
               
           “Harris. Awak sudah empat hari tiga malam tak sedarkan diri.” Kata Adira. Harris terkejut. Empat hari sudah berlalu?

            “Tapi, takkanlah polis tidak menjumpai badan dia selepas pertempuran antara kami dengan dia?” tanya Harris. 

         “Sepatutnya begitulah. Tetapi, menurut apa yang mereka katakan kepada saya, ketika mereka menemui awak berempat di tingkat 4, jejak lelaki itu tidak ditemui sehinggalah mayat dia ditemui tadi.” Kata Adira.

           “Ketika awak pengsan, kami sendiri nampak badan Azhar disedut ke dimensi lain.” Reila menambah. Harris hanya terdiam, tak berkata apa-apa. Barangkali, dia turut menerima nasib yang sama seperti arwah Hadi beberapa hari lepas.                               

Wednesday 4 January 2012

ZERO Arc -Bab 2-

BAB 2

14hb. Disember 2011, 4.30 pagi

Pandangan Harris yang gelap tadi semakin menerang. Ketika itu, dia mendapati dirinya berada di atas katil dalam bilik tidurnya. Fikirannya tidak berhenti-henti mengungkapkan kehairanan dan persoalan. Walau bagaimanapun, persoalannya segera terjawab apabila dia ternampak Reila yang duduk tenang di sebelahnya. 


Entah kenapa dia masih tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya itu, lantas pipinya sengaja dicubit dengan kuat. Aduh! Pedih terasa di pipinya. Tidak syak lagi, ini bukan mimpi ataupun delusi.

“Awak sudah sedar?” tanya Reila.

Harris sekadar mengangguk tidak berkata apa-apa. Tatkala itu, dia menyedari sesuatu yang tidak kena. Hanya dia dan Reila berada dalam bilik tidurnya. Berdua-duaan! Harris yang terkejut lantas mengundur menghampiri dinding. Wajahnya tiba-tiba bertukar merah menyala. 


“Kenapa? Awak demamkah?” Reila yang kehairanan dan tidak tahu apa-apa mula menghampiri Harris. Harris pada ketika itu mula merasa cuak.

“Jangan dekat!”

“Kenapa awak kelihatan seperti sedang menggelabah sahaja?”

“Gelabah? Macam mana saya tidak…” Belum sempat Harris menghabiskan kata-katanya, kepalanya dengan tiba-tiba merasa sedikit pening.

“Awak tidak apa-apa?” Reila mula kelihatan risau.

“Ya, saya tidak apa-apa. Kepala saya merasa sedikit pening.” Kata Harris sambil mengurut kepalanya itu. Ketika itulah, Adira dan lain-lain masuk ke dalam bilik Harris.

“Bagaimana dengan keadaan awak?” tanya Adira, risau.

“Saya cuma merasa pening sedikit sahaja. Awak tidak perlu risau.” Jawab Harris sambil tersenyum pendek. Adira kemudiannya memberikan semangkuk sup kepada Harris.

“Nah, saya buatkan awak sup. Awak makanlah, biar badan awak rasa lega sedikit.”

“ Terima kasih. Saya akan makan selepas ini.”

“Harris, sebenarnya kami ada satu perkara yang ingin dibincangkan kepada kamu.” Kata Kai, tiba-tiba. 

“Baiklah. Aku sedia mendengar.”

 “Terutama sekali, aku rasa kau mesti sedang bingung berkaitan dengan dua perkara. Pertama, bagaimana kami boleh muncul di Bumi. Dan yang kedua, dari mana pula kami datang, bukan?” tanya Kai. Harris sekadar mengangguk bersetuju dengan pertanyaan Kai itu.

“Baiklah. Untuk jawapan bagi soalan pertama itu, kami sebenarnya sudah lama wujud di dunia ini, tetapi manusia biasanya tidak boleh melihat kami dengan mata kasar kerana kami tinggal di dimensi lain yang selari dengan Bumi. Dan dimensi itu adalah dimensi Imaginari.” Penjelasan Kai itu mula membuatkan Adira dan Harris masing-masing bingung.

“Dimensi lain? Adakah dimensi kalian boleh disamakan dengan dimensi paranormal?” tanya Adira.

“Ya, benar. Kami sendiri pun adalah entiti paranormal yang dikenali sebagai Imaginary Being yang terhasil dari imaginasi manusia. ” Jawab Kai.

“Jadi, kalau benarlah kamu semua ini wujud dari fantasi manusia, kenapa kalian boleh muncul di dunia realiti?”

 “Kami muncul di dunia realiti disebabkan terjadinya proses realisasi di mana pintu dimensi yang menghubungkan antara dunia realiti dan dunia Imaginari pecah untuk sementara waktu. Pada masa itulah, kami boleh bergerak masuk ke dunia realiti.” Ryan menambah.

“Kalau begitu, bagaimana pula kalian boleh hidup di dunia realiti? Kalau sudah namanya entiti paranormal, kalian tak mungkin boleh dilihat oleh sesiapa dengan semudah itu. Tambahan pula, setahu aku entiti paranormal tidak ada badan fizikal yang tetap.” Harris masih buntu.

“Baiklah, kesemua perkara yang terjadi ini adalah berdasarkan dari sebuah teori yang dinamakan Teori Realisasi Imaginari.” Kata Reila, mencelah perbualan mereka.

Apa yang dikatakan Reila itu menghairankan Harris dan Adira. Teori Realisasi Imaginari? Tidak pernah pula mereka dengar tentang kewujudan teori sebegitu.

 “Baiklah. Apa yang kami akan terangkan ini agak panjang, jadi saya harap awak berdua pasang telinga betul-betul. Berdasarkan Teori Realisasi Imaginari, Imaginary Being muncul di dunia realiti selepas tujuh fasa berjaya ditempuhi. Pertama sekali, kami dilahirkan melalui imaginasi manusia. Kemudiannya, imaginasi tersebut diterangkan lagi dalam bentuk lukisan manual. Seterusnya, untuk menjelaskan lagi penerangan itu, format lukisan manual itu ditukar menjadi format lukisan digital melalui penggunaan teknologi-teknologi elektronik yang ada di dunia kamu sekarang.” Jelas Reila dengan teliti.

“Setelah ketiga-tiga fasa tersebut, bait-bait digital dari peralatan elektronik seperti komputer membentuk tubuh badan kami secara fizikal. Kemudian, badan fizikal kami disatukan dengan gelombang-gelombang yang dibebaskan dari setiap peralatan elektronik yang berada dunia realiti seperti komputer. Gelombang-gelombang ini bertindak sebagai nadi kami di mana fungsinya hampir menyamai jantung manusia.” Kata Kai, menambah.

 “Selepas semua proses ini terjadi, kami mula dilahirkan di dimensi Imaginari. Dan, akhir sekali, proses realisasi.  Kami mendapat tubuh badan secara fizikal yang membolehkan kami bergerak bebas di dunia realiti disebabkan proses ini di mana terjadinya insiden pintu dimensi antara dua dimensi iaitu Dimensi Imaginari dan Dimensi Realiti pecah.” Ryan mencelah dan mengakhiri penerangan itu.

“Tidak sangka pula ianya agak rumit, tetapi apa-apapun, aku faham dengan penjelasan itu. Walau bagaimanapun, aku ada satu lagi keraguan yang sampai sekarang aku masih tidak faham.” kata-kata Harris itu membuatkan mereka bertiga mula kehairanan.

“Adira pernah berkata kepada aku bahawa kami berdua ini adalah Imagineer, golongan yang merealisasikan elemen imaginasi kami ke dunia realiti. Dan, menurut katanya juga, perkara ini terjadi setelah dia bermain permainan online Imaginary Heroes Online’.” Kata Harris.

“Harris, mungkin dari apa yang saya akan katakan ini hanyalah sekadar kebetulan. Tetapi, awak tidak pernah terfikirkah bahawa ada kemungkinan dimensi Imaginari itu wujud adalah kerana permainan itu. Maklumlah, dunia dalam permainan itu pun bernama Imaginari.” Celah Adira. Harris mula berfikir. Baginya, ianya terlalu bagus andai perkaitan itu hanyalah sekadar kebetulan, tetapi tidak mustahil juga jikalau apa yang dikatakan oleh Adira itu benar.

“Mungkin benar apa yang kamu katakan itu, Adira. Tetapi, aku rasa kalian masih lagi tidak sedar akan sesuatu perkara yang jelas sedang berlaku sekarang ini.” Kata Kai, tiba-tiba.

“Apa maksud kau?”

“Kalian kini sedang terperangkap dalam sebuah permainan maut secara tidak sengaja.” Kata-kata Kai membuatkan Harris dan Adira bingung.

“Permainan? Permainan apa?” Harris mula hilang sabarnya apabila perasaan ingin tahu di mindanya itu mula membuak-buak.

“Permainan ini dikenali sebagai Real Rumble. Ia melibatkan para pemain yang dipilih secara teliti oleh pihak yang tidak diketahui. Mereka yang terpilih itu adalah dikenali sebagai Imagineer. Para pemain diperlukan untuk bertarung antara satu sama lain bagi menentukan siapa yang kuat di antara mereka dan merebut sebuah hadiah yang dikenali sebagai Kristal Hajat.” Jelas Kai. 

“Kristal Hajat? Biar aku teka, kristal itu akan menunaikan sebarang hajat yang diminta oleh Imagineer, bukan?” 

                “Ya, benar. Tetapi, memandangkan kau seolah-olah memandang remeh dengan perkara ini, aku mahu ingatkan kau akan sesuatu benda. Kuasa dari kristal itu sangat digeruni, dan hampir semua orang menginginkannya. Kau boleh meminta apa sahaja yang kau mahu. Menguasai dunia? Memusnahkan dunia? Kesemua itu boleh berlaku dengan adanya Kristal Hajat. Ia akan memberikan kuasa mutlak kepada pemegangnya untuk mengdistortasikan realiti di Bumi dan mencipta sebuah realiti baru sepertimana yang dia inginkan.” Nada suara Kai sedikit tinggi, memberikan amaran.  

“Tetapi, kenapa mereka boleh menggunakan kuasa esper di dunia realiti?” tanya Harris, kehairanan. 

“Itu aku sendiri pun tidak pasti. Tetapi, ada kemungkinan setiap pemain yang dipilih itu mampu mewujudkan suatu fenomena yang mengaktifkan kuasa esper mereka. Dan, fenomena itu adalah dikenali sebagai Realiti Peribadi.

“Realiti Peribadi. Begitu rupanya.” 

“Nanti dahulu, Harris. Jelaskan kepada saya, apa itu Realiti Peribadi?” tanya Adira, yang mula kelihatan bingung.

“Realiti Peribadi merupakan suatu fenomena yang bertindak sebagai sumber kuasa bagi pengguna esper. Istilah ini diperkenalkan dari sebuah novel ringan Jepun yang dikenali sebagaiA Certain Magical Index yang ditulis oleh Kazuma Kamachi. Menurut novel itu, kesemua manusia mempunyai fenomena Realiti Peribadi yang tersimpan di dalam minda mereka. Secara spesifiknya, ia melibatkan kesedaran mereka. Kekuatan Realiti Peribadi boleh dipertingkatkan secara kendiri dan lama-kelamaan, kuasa supernatural boleh dicapai dan menjadikan mereka pengguna esper. Kuasa esper si pengguna akan bertambah kuat jikalau si pengguna berupaya untuk menguatkan Realiti Peribadi. ” Kata Harris, memberikan penjelasan kepada Adira.
       
“Bagaimana pula dengan istilah Esper-type dan Summon-type itu? Menurut apa yang lelaki itu beritahu kepada saya, dia berkata saya merupakan Esper-type Imagineer manakala Harris pula Summon-Type Imagineer. Apa maksud istilah-istilah itu?” tanya Adira.

Imagineer mempunyai dua golongan yang membezakan jenis kuasa mereka. Yang pertama adalah Esper-type. Mereka yang berada dalam golongan ini diberi kelebihan paranormal. Kalau diikutkan, awak boleh samakan kuasa esper dengan kuasa magis. Tetapi, apa yang membezakan kuasa esper dengan kuasa magis adalah kuasa esper terhasil berdasarkan dari hukum fizik dan juga kimia, tetapi magis pula bergantung sepenuhnya kepada manteranya.” Jelas Reila.



“Yang kedua pula, Summon-Type. Daripada apa yang aku dengar, peratus mereka yang tergolong dalam golongan ini sangat rendah, atau lebih tepat, kewujudannya sangat jarang. Apa-apapun, mereka yang tergolong dalam golongan ini mempunyai kelebihan menyeru Imaginary Being seperti kami sendiri yang dicipta oleh imaginasi mereka sendiri. Sayangnya, golongan ini tidak mampu berlawan secara sendiri tidak seperti golongan esper.” Ryan menambah. Harris dan Adira masing-masing terdiam seketika. Ternyata mereka masih tidak dapat menerima kesemua yang terjadi itu merupakan kenyataan.



“Kai, apa yang akan terjadi kepada mereka yang kalah dalam pertarungan itu?” tanya Harris, tiba-tiba. Entah kenapa, air muka dan nada suaranya berubah secara drastik.

“Aku tahu ianya sukar untuk kau terima. Tetapi, mereka yang kalah akan menerima nasib yang sama seperti lelaki itu tadi.” Ketika itulah, minda Harris dibayangi saat-saat ketika badan pemuda itu secara misterinya mengecut, seolah-olah disedut ke dimensi lain.

“Maksud kau, mati…?” Kai sekadar mengangguk lemah mengiyakan kebenaran itu. Kai terfikirkan kemungkinan yang Harris akan membentak. Namun, lain pula jadinya apabila wajah Harris mula bertukar serius memandang ke arah mereka.

“Baiklah. Aku akan berusaha untuk mendapatkan Kristal Hajat itu.” Kata Harris, tiba-tiba. Kata-katanya itu mengejutkan mereka berempat.

“Harris, awak pastikah?  Saya dapat rasakan ianya bukan semudah apa yang awak fikirkan untuk kita dapatkan Kristal Hajat itu?” tanya Adira.

“Itu saya tahu, Adira. Tetapi, kita memang tak ada pilihan lain. Kita bergerak sebagai kumpulan, saya rasa tidak ada peraturan yang mengatakan kita tidak boleh bekerjasama, bukan?” Harris benar-benar kelihatan bersemangat.

“Harris, aku ada satu soalan yang aku ingin tanyakan kepada kau.” Tanya Kai, tiba-tiba.

“Dan soalan itu adalah…?”

“Apa tujuan kau untuk dapatkan Kristal Hajat itu?”

“Aku tidak tahu apa yang aku inginkan dengan Kristal Hajat itu. Tetapi, kalau ini sudah melibatkan dunia, aku tidak rasa aku boleh berdiam diri sahaja.” Mendengar kata-kata Harris itu, Kai mula ketawa kecil.

“Jadi, kau teringin untuk menjadi seorang herolah, ya?” tanya Kai, menyindir.

“Aku sekadar melakukan apa yang aku rasa betul. Itu sahaja.” Kata Harris, tenang sambil tersenyum. Adira mula membelek jam digital di tangannya dan.  Bukan main gelabah dibuatnya apabila jam itu menunjukkan waktu sekarang adalah 5.10 pagi.

“Harris, saya kena balik sekarang.” Adira dengan kelam-kabut mula mengemaskan barangnya.

“Adira. Sebelum awak pergi, saya harap awak boleh tolong saya. Reila, saya mahu awak tinggal bersama-sama Adira dan jagakan dia untuk saya.”

“Saya tidak kisah, tetapi kenapa saya tidak boleh tinggal di sini?”

“Maaflah kalau awak salah faham dengan saya, Reila. Tetapi, saya risaukan Adira. Adira pernah berkata kepada saya bahawa ada satu organisasi gelap yang sedang memburunya. Walaupun dia sudah ada kuasanya sendiri, tetapi saya harap awak boleh tolong tengok-tengokkan dia untuk saya. Sekurang-kurangnya, hilanglah sedikit perasaan risau saya.” Kata Harris. Harris mula kelihatan gelabah apabila Reila tidak memberikan sebarang reaksi.

“Reila, saya merayu kepada awak. Hanya awak sahaja yang boleh tolong saya sekarang ini.” Kata Harris, merayu.

“Saya faham. Tetapi, bagaimana pula dengan Kai dan Ryan?”

“Berkenaan mereka berdua, awak tidak perlu risau. Mereka akan tinggal di sini memandangkan hanya saya seorang sahaja yang tinggal di rumah ini.” Kata Harris. Ketika itulah, dia tersedar dia tersalah cakap. Dia mula risau, adakah Reila akan salah faham terhadapnya? 

 “Jika awak risaukan perasaan saya, awak tidak perlu risau. Saya faham, lelaki dan perempuan tidak boleh tinggal serumah.” Kata Reila, tenang. Ketika itulah, Harris melepaskan keluhan ringan.

“Maaf, Reila. Saya risau saya akan sakitkan hati awak.”

“Tidak mengapa. Saya faham. Adira, mari kita pergi.” Ajak Reila. Adira mengangguk.

“Harris, kalau awak ada apa-apa perkara yang hendak dibincangkan, telefonlah saya, ya? Pergi dulu.” Mereka berdua lantas meninggalkan rumah itu. Kai dan Ryan sekadar ketawa kecil. Harris sekadar mencebik, geram.

14hb. Disember 2011, 5.20 pagi.

“Tuan, maafkan saya. Saya tidak menyangka pula budak itu sudah mampu menyeru Imaginary Being miliknya pada ketika itu.” pemuda itu menundukkan kepalanya, meminta maaf.
            
            “Hadi, kau benar-benar sudah kecewakan aku.” Kata satu suara lelaki yang garau bergema di dalam bilik itu.  Hadi sekadar mendiamkan diri, tak mampu untuk berkata apa-apa.
        
           “Tuan, apa yang kita perlu lakukan sekarang?” tanya Hadi, setelah mendiamkan diri seketika.
   
             “Aku tidak rasa aku boleh percayakan kau lagi. Jadi sebab itulah, aku sudah pun mencari orang lain yang lebih sesuai dengan kerja ini. Masuk!” Kedengaran bunyi tapak yang makin kuat bergema berjalan ke arah Hadi. Kelihatan seorang lelaki yang berambut panjang sedang tersenyum, menyindir ke arahnya.

                “Apa semua ini, Tuan? Tolonglah, tuan. Berilah saya satu lagi peluang. Saya pasti kali ini saya tidak akan mengecewakan tuan.” Hadi merayu.

                “Sudah, aku bukan lagi bodoh untuk memberi kau peluang kedua! Kau patut sedar yang kuasa esper kau cuma berada di tahap 3 sahaja! Jika kau boleh kalahkan dia sekalipun, itu pun hanyalah kerana adanya ketidaksepadanan elemen. Kali ni, aku akan serahkan kepada Azhar memandangkan kuasanya berada di tahap 5.” Kata suara itu. Hadi terkejut. Tahap 5?

Tiba-tiba, satu balang besar mengurung Hadi. Hadi terkejut dan lantas memekik, merayu agar dilepaskan. “Maaflah, Hadi. Aku tidak sangka aku begitu bodoh mengharapkan kau boleh selesaikan tugas ini, walaupun aku sendiri tahu yang kau cuma esper tahap 3. Tapi, sekurang-kurangnya, otak kau masih lagi berguna untuk aku berikan kepada rakan aku!” Kelihatan satu tangan mekanikal mula bertapak di atas kepala Hadi.
            
         “Terima kasih, Hadi. Dan, selamat tinggal!” Ketika itulah, tangan mekanikal itu bertindak mencengkam kepala Hadi dengan kuat sehingga darah merah pekat memecut keluar dengan banyaknya. Pekikan histeria Hadi bergema ketika dia bergelut dengan kematian.

Tidak lama kemudian, riwayat Hadi kemudian tamat di situ. Namun pun begitu, tanpa sedikit pun berasa kasihan terhadap Hadi, lelaki itu bertindak mengawal tangan itu, menarik dan mengeluarkan otak dari kepala Hadi yang hancur itu. Ketika itu, suara ketawa bergema dengan kuat dalam bilik itu. Lelaki berambut panjang itu sekadar tersenyum di situ.