Sunday, 1 January 2012

ZERO Arc -Prolog-

PROLOG
                
Imaginasi merupakan kemampuan seseorang untuk membentuk imej, perasaan dan konsep secara mental, pada suatu masa ketika mereka tidak melihat, mendengar ataupun menggunakan panca indera yang lain.

Imaginasi membantu mencipta makna untuk memberi pengalaman dan pemahahaman terhadap ilmu; ianya merupakan kemudahan asli bagi manusia untuk memahami dunia dan memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran. Latihan asas untuk imaginasi adalah dari pendengaran kepada penceritaan secara naratif, di mana ketepatan dalam bait-bait perkataan yang terpilih akan menjadi faktor membangkitkan dunia. Imej yang dibayangkan akan dilihat melalui ‘mata minda’.
  
Imaginasi selalunya diluahkan melalui fiksi seperti kisah dongeng dan fantasi. Banyak ciptaan ataupun produk hiburan yang popular dimajukan dari inspirasi imaginasi seseorang. Dengan inilah, imaginasi membangkitkan dan meningkatkan kreativiti seseorang. Albert Einstein sendiri pun pernah berkata, ‘Imaginasi adalah lebih penting dari pengetahuan’.



Percaya dengan kata-kata itu, terhasilnya sebuah sistem permainan online ‘Imaginary Heroes Online’. Bermottokan ‘Realisasikan Imaginari Anda’, permainan ini mencetuskan fenomena luar biasa terutamanya kepada para remaja kini yang gemar menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan online

Apa yang membuatkan permainan ini unik ialah terdapat suatu sistem yang membolehkan para pemain untuk mencipta sendiri hero mereka dengan cara memuatnaikkan lukisan digital mereka ke sistem permainan tersebut. Kelebihan ini memberi peluang kepada para pemain untuk merasai sendiri kehebatan hero imaginasi mereka dalam bentuk permainan terutamanya bagi mereka yang berimaginasi tinggi. Walaupun mereka tidak mempunyai kelebihan itu, para pemain masih boleh mencipta avatar mereka sendiri dengan menggunakan sistem character design yang disediakan dalam sistem permainan tersebut. 
 
Dari sudut pandangan kita, ianya barangkali hanyalah fenomena luar biasa yang hanya kelihatan biasa bagi kita, orang biasa yang tak tahu apa-apa. Namun pun begitu, terjadi kes-kes kehilangan beberapa individu yang dikaitkan dengan permainan online tersebut. Lebih memburukkan keadaan, setiap kes kehilangan ini diakhiri dengan satu tragedi di mana mereka ditemui dalam kes yang baru – kes pembunuhan. Mayat mereka ditemui dalam keadaan yang mengerikan di mana kepala mereka ditemui dalam keadaan yang hancur seolah-olah dicengkam dengan kuat. Lebih mengerikan, otak mereka turut hilang, tidak ditemui. 


Dengan perkaitan sebegitu, tidak hairanlah jika syarikat pengeluar perisian permainan online tersebut, Game-Wizard Corporations turut dikontroversikan oleh kes-kes ini. Namun pun begitu, kerana pihak polis tidak mempunyai sebarang bukti, tuduhan itu terpaksa ditarik balik dan hanya menganggap perkaitan itu cumalah suatu kebetulan. Perkaitan itu turut dirahsiakan dari pengetahuan pihak media dan masyarakat bagi mengelakkan terjadinya sebarang perkara yang lebih memburukkan keadaan.


12hb. Disember 2011, 12.30 tengah malam.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di kawasan belakang sebuah bangunan rumah kedai di kawasan Ampang. Orang ramai mengerumuni di sekitar kawasan tersebut untuk menyaksikan apa yang terjadi. Berdekatan dengan kawasan kejadian tersebut, didapati seorang wanita tua sedang mendakapi rapat sambil menangis dan meraung melihat mayat anak terunanya yang ditemui dengan keadaan yang mengerikan di mana bahagian kepalanya ditemui dalam keadaan yang hancur.

“Tuan Inspektor, berdasarkan apa yang kami siasat tadi, mangsa dicengkam dengan kuat, otak milik mangsa pula tak ditemui, mungkin dibawa sekali dengan pembunuh itu. Dan, saya dapat rasakan ini adalah kes yang sama, Tuan.” Jelas ketua pegawai forensik yang bertugas di situ kepada pegawai polis itu. Tag nama yang bertuliskan ‘Razlan’ tergantung di poket kanan uniform pegawai polis itu. Inspektor Razlan sekadar menganggukkan kepalanya, faham. “Kami juga ada jumpa beberapa barang-barang milik mangsa.” 

Ketua pegawai forensik itu lantas menyerahkan beberapa plastik kedap udara yang mengandungi barang-barang milik mangsa itu kepada Inspektor Razlan.
Barang-barang itu ditilik satu persatu. Telefon bimbit dan dompet. Inspektor Razlan lantas memakai sarung tangan getah. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kehilangan kesan cap jari yang mungkin ada di dompet tersebut. Plastik tersebut lantas dibuka dan isi dompet itu diteliti. Ketika itulah, Inspektor Razlan mula kehairanan apabila terdapat sekeping kad jatuh ke tanah. Kad itu lantas diambil dan dibelek dari belakang ke depan. Tertera perkataan ‘Imaginary Heroes Online Point Card’ di bahagian depan kad tersebut. Perasaan terkejut mula menguasai mindanya.


“Tuan, tak syak lagi. Ini adalah kes yang sama.”  

“Baik, kerja yang bagus. Sekarang, saya mahu kamu bawa mayat ni ke hospital untuk dibedah siasat dengan lebih lanjut."Arahan Inspektor Razlan dipatuhi dan ketua pegawai forensik itu mula menjalankan prosedur terakhir sebelum mengusung mayatnya masuk ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital bagi tujuan siasatan lanjut. Beliau kemudiannya mengurut kepalanya yang tidak sakit dan melepaskan keluhan ringan. Entah siapa yang melakukan semua ini? Apa tujuannya? Persoalan tersebut mula muncul di mindanya.

No comments:

Post a Comment