BAB 1
13hb. Disember 2011, 3 petang.
Harris baru sahaja sampai di rumah apartmennya dari kolej. Dia lantas merebahkan dirinya atas sofa ruang tamu, kepenatan. Kemudian, dia meneliti fail keputusan penilaian peperiksaan semesternya. Diploma Media Kreatif, CGPA 3.85. Harris tersenyum lebar dan kemudiannya melepaskan nafas lega.
Walaupun baru sahaja belajar dalam semester pertama, tetapi tugasan yang diberikan amat sukar. Menurut kata pensyarahnya, jurusan ini sangat terkenal dengan insiden tugasan yang dihantar selalu ditolak dan ramai pelajar gagal dalam penilaian semester mereka kerana ini. Tidak kurang juga, ramai pelajar terpaksa bertukar ke jurusan lain kerana tidak tahan dengan beban insiden tugasan yang sering ditolak itu.
“Nasib baiklah aku lulus, kalau tak barangkali aku terpaksa ulang semula semester. Tapi, tak sangkalah pula markah CGPA aku dapat 3.85. Tak hairanlah, orang lain pun pandang terhadap aku semacam saja.” Katanya dalam hati.
Harris kemudiannya mengeluarkan sesuatu dari beg galasnya itu. Plastik yang berisi kotak CD permainan online ‘Imaginary Heroes Online’. Kata orang ramai, permainan ini sangat terkenal di serata dunia. Lagi membanggakan, permainan ini adalah buatan syarikat pencipta perisian permainan komputer terkenal di Malaysia, Game-Wizard.
Harris kemudiannya membuka suis komputer desktop miliknya dan mula install perisian permainan online tersebut. Sambil menunggu proses install siap, dia mendirikan solat Zuhur. Setelah 10 minit, proses install telahpun siap, dia mula upload lukisan tiga karakter ciptaannya dan membereskan beberapa proses yang sepatutnya. Setelah itu, Harris mula log-in dalam sistem permainan tersebut.
LOG IN
Username: keitatatsuya
Password: *******
“Apa salahnya, semester pun sudah tamat, bukan? Inilah masanya untuk aku bermain puas-puas!” katanya bersendirian sambil tersenyum panjang. Harris kemudian hanyut dalam dunia permainan tersebut dan bermain dengan sepuas hatinya.
13hb. Disember 2011, 8.30 malam
Ketika itu, Harris merasa hatinya sungguh lapang. Tidak kurang juga, dia turut merasa sedikit hiperaktif dan bersemangat. Puas dia bermain permainan online itu tadi. Motornya itu laju melayari di atas jalan raya. Tidak banyak kenderaan yang lalu-lalang di situ pada waktu malam.
Boleh tahan juga online game itu. Mujurlah esok cuti semester sudah hendak bermula. Bolehlah aku main puas-puas! Hmm, alang-alang bolehlah aku hantarkan sekali draf baru novel aku kepada editor aku.
Selain bergelar sebagai seorang pelajar kolej, Harris juga merupakan seorang novelis yang bekerja secara sambilan. Itu pun sekadar untuk menambahkan duit poketnya selain merealisasikan minatnya. Harris bukan sahaja berbakat dalam bidang penulisan kreatif, malahan dia juga mampu melukis dengan baik sekali. Oleh kerana itu, jurusan media kreatif adalah batu loncatan baginya untuk mencapai impiannya untuk menjadi seorang kartunis terkemuka suatu hari nanti.
Motor Harris itu kemudiannya berhenti berdekatan Restoran Mat Masak Sedap. Seperti biasa, malam itu, keadaan menjadi riuh-rendah dengan kehadiran ramai para pelanggan yang memenuhi hampir setiap tempat duduk di situ terutamanya para pelajar kolej dan orang bujang.
“Harris!”
Ketika dia baru sahaja hendak duduk, seorang pemuda lingkungan usia awal 30-an menegurnya dengan senyuman lebar.
“Abang Mat. Ingatkan siapa tadi.”
“Duduklah.” pelawa Harris.
“Kamu tak cakap pun tak apa. Inikan restoran Abang Mat. Abang Mat punya sukalah mahu duduk mana-mana pun.” Kata Abang Mat selamba, sempat berseloroh.
Harris ketawa kecil. Tak padan dengan umurnya yang sudah hampir masuk 30 tahun, perangai macam budak-budak. Harris mengejek dalam hati. Tetapi sikap Abang Mat itu jugalah membuatkan dia mudah berkawan dengan orang ramai.
“Oh ya, tadi pihak kolej Harris ada telefon abang. Mereka beritahu abang tentang keputusan penilaian semester Harris. Tahniah! CGPA 3.85. Wah, bukan senang mahu dapat markah sebanyak itu!” puji Abang Mat.
“Alah, abang. Biasa-biasa saja. Harris tak rasa Harris belajar kuat sangat, risau betul Harris. Ingatkan Harris akan gagal tapi tak sangka pula CGPA Harris sampai 3.85.”
“Sebab Harris membuat pilihan yang tepat dan bersesuaian dengan minat Harris sendiri. Sebab itulah, bila Harris belajar, Harris pun rasa seronok. Tak ada rasa terbeban.” Jelas Abang Mat.
Harris sekadar mengangguk, setuju.
“Baiklah. Disebabkan Harris berjaya dalam peperiksaan itu, hari ini Harris minta apa sahaja yang Harris mahu makan. Abang belanja.”
Abang Mat tersenyum lebar. Harris terkejut dengan pelawaan Abang Mat itu. “Eh, tak payahlah, bang. Susah-susah je. Saya boleh bayar sendiri.” Harris cuba untuk menolak pelawaan Abang Mat.
“Harris. Harris jangan risau. Abang betul-betul ikhlas. Kalau ikutkan, Harris sudahpun dikira sebagai tanggungjawab abang, tahu tak? Lagipun, abang sudah janji dengan ibu ayah Harris bahawa abang akan jaga Harris bila mereka tak ada. Mak ayah Harris pun… selalu tolong abang bila abang susah. Abang selalu terfikir macam mana abang boleh balas budi mereka. Jadi, bila mereka amanahkan abang suruh jaga Harris, abang terus setuju. Abang fikir inilah masanya abang mahu membalas budi mereka.” Kata-kata Abang Mat itu membuatkan Harris terdiam. Fikirannya mula melayang memikirkan arwah ibu bapanya itu. Hatinya tiba-tiba rasa sebak namun cuba ditahan.
“Abang Mat ini pun satulah. Kalau beriya-iya pun mahu belanja Harris sangat, tak payahlah cakap berjela-jela. Baiklah, Harris terima pelawaan abang. Harris mahu makan nasi goreng U.S.A. dengan air sirap, boleh?”
“Ok, tak ada masalah! Din, buatkan nasi goreng U.S.A. dengan air sirap untuk Harris ini! Masak istimewa!” Abang Mat memekik dari tempat duduk Harris.
“Beres, bos!”
13hb. Disember 2011, 10.30 malam.
Harris kini dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah dua jam menghabiskan masanya di restoran Abang Mat itu. Walaupun matanya memandang jalan raya, mindanya melayang sekali lagi memikirkan tentang Abang Mat dan arwah ibu bapanya.
Ketika itulah, dia terperasan suatu cahaya yang terang berkelip-kelip tidak jauh dari tempatnya berdiri. Harris yang terdorong oleh perasaan ingin tahu itu lantas bertukar destinasi ke arah cahaya itu.
Semakin dia mendekati, cahaya itu semakin terang. Harris kemudiannya memparkirkan motornya tidak jauh dari situ dan bergegas. Di suatu simpang tiga, dia melihat kelibat seorang gadis yang kelihatan sebaya dengannya sedang bertarung dengan seorang pemuda.
Tapak tangan gadis itu dengan tiba-tiba membebaskan serpihan ais tajam ke arah pemuda itu. Namun, pemuda itu dengan tenang membebaskan perisai elektrik yang kuat dan serangan gadis itu berjaya dilumpuhkan.
Tapak tangan gadis itu dengan tiba-tiba membebaskan serpihan ais tajam ke arah pemuda itu. Namun, pemuda itu dengan tenang membebaskan perisai elektrik yang kuat dan serangan gadis itu berjaya dilumpuhkan.
“Itu elektrik, bukan? Kenapa ada elektrik di tangan dia?”
Harris benar-benar terkelu. Mindanya mula bercelaru, kehairanan. Pada mulanya, dia berniat untuk melarikan diri, namun secara tidak sengaja, dia tersepak satu tin kosong yang berada di hadapannya. Ketika itulah, kehadiran Harris di situ disedari oleh mereka. Harris terkejut. Pemuda itu mula mengeluh sambil memandang ke arah Harris.
“Weh, perempuan! Kenapa kau perlu babitkan orang luar pula, hah? Engkau ini memang betul-betul menyusahkan akulah betullah!”
“Cis… Hei, awak di sana! Pergi dari sini cepat!” Tempik gadis itu dari jauh.
“Ha-habis itu, awak pula macam mana? Takkan awak mahu berlawan dengan lelaki itu? Awak tak nampakkah apa yang ada di tangan dia itu, hah?” tanya Harris.
“Saya sudah cakap, bukan? Awak jangan risau! Baik awak pergi sekarang! Jangan gatal pula terfikir mahu jadi hero pula sekarang ini! Dia bukan lawan kau!” kata gadis itu.
Ketika itulah, telefon bimbit pemuda itu berdering. Mesej diterima. Wajah gadis itu berubah mencuka.
“Amboi, dalam keadaan macam ini pun sempat lagi kau nak main telefon bimbit engkau itu, ya?”
Walaupun dari nada suara gadis itu jelas menunjukkan dia sedang marah, pemuda itu tidak mempedulikannya, hanya tenang tak bereaksi. Malahan dia ralit membaca teks SMS yang baru sahaja diterimanya tadi di skrin telefon bimbitnya itu.
“Target yang dicari ada berdekatan. Segera bertindak.”
Telefon bimbitnya sekali lagi berdering . Kali ini MMS pula diterima.
“MMS pula? Butiran… Harris Zulkarnain bin Anuar Hashim. 18 tahun. Pelajar kolej. Kawasan, Taman Melati. Log-in pada 13hb. Disember, 3:30 PM.”
Sedang pemuda itu sibuk membaca kandungan mesej itu, hati Harris mula berombak kencang. Kenapa ada mesej sebegitu? Log-in? 13hb. Disember, 3.30 PM? Bukankah ketika itu aku sedang log-in dalam online game itukah? Hatinya mula berdegup kencang apabila memikirkan hal itu.
“Kumpulan Imagineer, Summon-Type. Eh, Summon-Type? Tak sangka pula golongan ini pun wujud. Oh, ada gambar sekali.” Ketika itulah, raut wajah pemuda itu berkerut tiba-tiba. Dan, matanya kembali memandang ke arah Harris. Entah kenapa, kemudiannya dia mula ketawa besar.
“Tak sangka aku bertuah betul hari ini! Hahaha!! Target aku sudah ada betul-betul di hadapan mata aku!”
Pemuda itu tersenyum lebar sambil ketawa terkekek-kekek. Harris yang merasa terancam dengan tawanya itu segera berundur ke belakang. Elektrik mula berpercikan di seluruh badannya, tanda akan menyerang bila-bila masa sahaja. Gadis itu dengan segera menghampirinya.
“Baik awak lari sekarang!”
“Ha-habis itu? Awak pula macam mana?”
“Masa ini pun awak hendak risaukan orang lain jugakah, hah? Awak jangan risaukan tentang saya, boleh tak? Sekarang saya mahu awak larikan diri sekarang juga.” Kata gadis itu, mengarah.
“Tak. Kalau saya perlu lari, awak pun kena ikut sama lari dengan saya!”
Harris dengan segera menarik tangan gadis itu dan mula membuka langkah seribu. Pemuda itu lantas mengejar mereka dari belakang. Sekali-sekala, pemuda itu menyerang mereka berdua dengan percikan elektriknya. Terdesak, gadis itu membawa Harris bersembunyi di suatu sudut belakang bangunan itu. Mujurlah kawasan itu gelap, maka keadaan sedikit terkawal untuk sementara waktu. Harris tercungap-cungap mengambil nafas.
“K-kita selamat.”
Harris mula merasa lega. Tiba-tiba, gadis itu lantas menampar pipi Harris. Dia pada mulanya terkesima, namun air mukanya mula mencuka. Hatinya mula rasa panas, geram dengan reaksi gadis itu. Dia sedikit pun tidak mempedulikan air muka gadis itu yang turut sama berubah mencuka, walaupun wajah gadis itu jelas lebih menakutkan darinya ketika marah.
“Sakitlah. Kenapa awak tampar saya, hah?”
“Kenapa? Itu yang saya patut tanya kepada awak? Bukankah tadi sudah terang-terang saya katakan yang awak tak perlu selamatkan saya?”
“Habis, awak mahu saya biarkan awak begitu sajakah, hah? Saya mahu tanya awak satu soalan. Dan soalan itu adalah adakah awak ingat saya ini lelaki yang pengecut yang biarkan perempuan berlawan dengan lelaki seorang diri macam itu saja?”
Ketika itu, Harris dikejutkan dengan percikan air yang tiba-tiba membasahi wajahnya. Badan Harris lantas menggigil, kesejukan. Dia pada mulanya hairan dari mana munculnya air itu, namun setelah mendapati gadis itu tersenyum mengejek ke arahnya, dia dapat mengagak itu semua tadi adalah angkara gadis itu. Kali ini, Harris benar-benar hilang sabar.
“Sejuklah, bangang!”
Tiba-tiba, serpihan ais yang tajam terbentuk di telapak tangan gadis itu. Harris tergamam dengan apa yang dilihatnya. Dia benar-benar terlupa bahawa gadis itu turut sama mampu mengeluarkan kuasa aneh seperti pemuda itu tadi.
“Eh? Ta-takkanlah awak… Awak pun…?”
“Ya, saya tak sangka awak baru perasan. Saya pun Imagineer. Saya mula terlibat dengan benda ini secara tidak sengaja sejak saya log-in dalam permainan online ‘Imaginary Heroes Online’ itu pada seminggu yang lepas.”
Penjelasan gadis itu membuatkan Harris kehairanan. Apa kaitannya pula semua perkara itu dengan permainan online itu? Dan, dari mana pula gadis itu mendapat kuasa sebegitu? Persoalan demi persoalan muncul di mindanya.
“Saya nak tanya awak satu soalan. Pernah dengar tak tentang istilah esper?”
“Esper? Kalau tak silap saya, esper adalah golongan manusia yang mempunyai sebarang kebolehan paranormal, bukan?”
“Ya. Betul, itulah saya sekarang. Saya dapat kuasa esper ini beberapa hari selepas saya main online game itu. Saya pun tidak tahu dari mana kuasa ini datang, tapi apa yang pasti, nyawa saya sentiasa terancam sejak adanya kuasa ini.”
“Baiklah. Tentang kuasa esper itu, saya faham. Tapi, apa kaitan pula dengan online game itu?”
“Tentang itu… saya sendiri pun buntu. Apa-apa pun, lelaki tadi itu merupakan pemain online game itu, tapi kalau tak silap saya, dia merupakan seorang pemain professional. Menurut siasatan saya, dia pernah tersenarai sebagai finalis Game Battles tahun lepas.”
“Game Battles? Maksud awak, pertandingan console game bertaraf antarabangsa itukah?”
Gadis itu sekadar mengangguk. Kali ini, Harris benar-benar terkesima. Semua ini sungguh aneh, terlalu pelik untuk menjadi kenyataan.
“Nama awak Harris, bukan?” tanya gadis itu, tiba-tiba.
“Macam mana awak tahu?” Harris kehairanan.
“Alahai, kalau bukan kerana lelaki itu yang sebut kuat-kuat nama awak, saya sendiri pun tidak tahu nama awak. Apa-apapun, nama saya Adira Fareesya. Panggil saja Adira.” Adira memperkenalkan dirinya.
“Nama bukan main feminin, tapi perangai macam maskulin.” kata Harris, mengejek. Wajah Adira segera bertukar merah, menahan malu. Dia sungguh tidak menyangka yang dirinya diejek sebegitu rupa.
“Hah? Kalau awak nak gaduh dengan saya, cakap terang-terang! Tak perlu awak hendak ejek saya! Apa-apapun, kita memang kena lari sekarang. Tapi, saya ada satu lagi soalan yang saya ingin tanyakan kepada awak? Kenapa awak beria-ia nak selamatkan saya tadi? Kalau ikutkan, awak pasti akan larikan diri tanpa pedulikan saya.” Wajah Adira sekali lagi bertukar merah, namun kali ini, pipinya yang merah dapat dilihat dengan ketara.
“Kenapa? Awak tak sihatkah?” tanya Harris, kehairanan. Ketika itulah, percikan elektrik tiba-tiba muncul dari belakang Harris. Harris menoleh ke belakang tanpa sebarang reaksi. Badannya kali ini benar-benar kaku untuk bertindak dengan kadar yang segera.
“Harris!!” Melihatkan Harris yang masih tidak berganjak dari situ, Adira dengan beraninya bertindak menolak Harris ke tepi dan ketika itulah badannya direnjat percikan elektrik itu. Walaupun kadar volt elektrik itu adalah rendah, namun ia cukup untuk melumpuhkan pergerakan Adira yang terbaring di situ. Adira cuba untuk bangun, namun percubaannya gagal.
“Adira!” Harris cuba untuk menolong. Namun, Adira menolak kerana risaukan Harris yang mungkin turut sama direnjat elektrik seperti dirinya. “Hahaha! Tahu pun duduk diam… Hehehe…” Pemuda itu melangkah ke arah mereka berdua.
Harris sekadar melihat ke arah Adira yang sedang menahan sakitnya itu. Ketika itulah, Harris menumbuk tanah dengan sekuat hati melepaskan geram yang teramat.
Kenapa aku ini lemah sangat? Hendak lindungi seorang perempuan pun aku tak mampu. Padahal, masa seperti beginilah kau perlukan pertolongan aku, Adira! Hatinya mula berteriak, tidak puas hati.
“Imagineer? Aku? Jangan buat aku gelaklah! Kalau seorang budak perempuan pun aku tak boleh nak lindungi, aku ini betul-betul tak bergunalah! Jahanam!!!” Harris menempik, geram.
Pemuda itu tidak mempedulikan amarahnya , malahan dia bertindak membebaskan percikan elektrik yang kuat dari badannya dan menyasarkan targetnya ke arah mereka berdua. Harris segera bertindak melindungi Adira walaupun dia sedar kebarangkalian dia akan mati sangat tinggi. Matanya segera ditutup, barangkali tidak sanggup untuk melihat sendiri betapa lemahnya dia.
Namun pun begitu, Harris yang masih lagi berdiri di situ merasa hairan kerana dia masih tidak lagi merasa kecederaan. Terdorong oleh perasaan ingin tahu, dia dengan perlahan membuka matanya dan ketika itulah, Harris terlihat tiga kelibat manusia yang tak dikenali di hadapan mereka – seorang lelaki berbadan tegap dan tinggi lampai bersama-sama pedang mekanikal besar di belakangnya, seorang gadis anggun yang berambut panjang serta bertubuh tinggi lampai seperti seorang model bersama-sama pedang panjang di belakangnya dan seorang lelaki yang bertubuh besar dan sasa yang menutupi kesemua wajahnya dengan hood jaket .
“Hmph, nampaknya kamu bertiga ini adalah Imaginary Being kepada budak itu. Cis, aku betul-betul terlupa budak itu adalah dari kumpulan Summon-type. Hoi! Ke tepilah! Jangan kacau kerja aku!” Pemuda itu membentak, geram.
“Kalau mahu berlawan sekalipun, cari orang yang sama kuat dengan kau. Jangan jadi pengecut.” Kata lelaki bertubuh tegap dan tinggi lampai itu.
Gadis tinggi lampai itu lantas mendekati Harris dan menghulurkan tangannya – tanda sedia menghulurkan bantuan. “Awak tak apa-apakah, Harris?” Gadis itu bertanya. Harris ketika itu benar-benar kehilangan kata-katanya. Dia sangat terkejut kerana dia amat mengenali kelibat mereka bertiga.
“Reila? Awak… Reila? Jadi, dua orang itu…”
“Ya… akhirnya kita berjumpa juga, Harris.”Kata lelaki berbadan tegap dan tinggi lampai itu sambil tersenyum kecil ke arahnya.
“Kai? Jadi… yang sebelah kau ini…” Lelaki bertubuh besar dan sasa itu kemudian menanggalkan hoodnya, mendedahkan wajahnya. Yang mengejutkan,wajah yang didedahkan itu bukannya wajah manusia biasa, tetapi wajah serigala jadian yang berbulu perak keputihan.
“Aku tak tahulah sama ada kau ini lembap ataupun terlalu terkejut? Tapi, yang lukis kami bertiga ini adalah kau, bukan?” tanya lelaki serigala jadian itu sambil memberikan senyuman nakal yang lebar
.
“Sudah lama kami mencari kau, Harris. Jumpa juga akhirnya.”
“Ryan?? Tapi, sekejap. Kenapa? Kenapa kamu bertiga boleh ada di Bumi? Bukankah kalian ini cuma karakter ciptaan dari lukisan aku sendiri??” Harris masih lagi tidak mampu untuk percaya apa yang dilihatnya. Ya, mereka bertiga pada asalnya hanyalah watak ciptaan Harris yang digunakan dalam karya lukisannya yang bertajuk Fantasy Arc.
“Ya, kalau diikutkan, memang pun. Tapi, yang panggil kami adalah kau, bukan? Kau tak ingatkah pada masa kau uploadkan data lukisan kami di sistem permainan online itu?” tanya Kai, mengingatkan Harris kembali.
Harris akhirnya teringat. Benar, dia telah menggunakan lukisan-lukisan mereka bertiga sebagai hero ciptaannya yang dimuatnaikkan ke dalam akaun sistem permainan online itu. Tetapi, dia tidak pernah dapat menyangka bahawa imaginasinya menjadi kenyataan. Kepalanya mula merasa sedikit pening, barangkali masih terkejut dengan perkara-perkara yang terlalu drastik itu.
“Jangan selamba cakap di situ macam aku tak wujud di sini!”
“Oh, maaflah. Entah kenapa, budak ini nampak lagi menarik dari kau. Jadi, kami lupakan kau. Maaflah, ya.” Kata Ryan menyindir, sambil tersenyum menyeringai kea rah pemuda itu. Lantaran terdorong oleh perasaan marah kerana terasa dirinya dipandang rendah, pemuda itu sekali lagi membebaskan percikan elektriknya ke arah mereka. Kai dengan pantas mengeluarkan pedang mekanikalnya dan menggunakannya untuk menyedut percikan elektrik itu.
“A-apa?”
“Kalau kau nak tahu, elemen aku pun elektrik. Aku boleh serap tenaga elektrik kau dan salurkan tenaga itu ke dalam pedang aku dan menguatkan lagi kuasa serangan aku.” jelas Kai.
“Ryan!”
Ryan dengan pantas berlari ke arah pemuda itu dan memberi penumbuknya sebagai pergerakan permulaan. Namun pun begitu, pemuda itu pantas melompat ke udara.
“Lambat betul kau!” kata pemuda itu dengan angkuh.
“Kau cakap siapa lambat?” Ryan dengan tenangnya menendang pemuda itu dari belakangnya. Pemuda itu terhempas ke tanah dengan kuatnya. Lebih mengejutkan, tanah itu berlubang dengan teruknya hasil daripada impak tendangan Ryan itu. Harris dan Adira yang berada di situ terkesima dengan kekuatan Ryan.
Ketika pemuda itu cuba untuk melarikan diri, Reila lantas menghalakan pedang panjangnya ke tekak pemuda itu. “Menyerah diri sajalah. Jangan fikir awak boleh larikan diri macam itu saja.” Kata Reila, tenang.
Ketika itulah, pemuda itu mula berkelakuan aneh. Wajah pemuda itu mula bertukar pucat, badannya pula turut sama menggigil, manakala mulutnya tak berhenti-henti mengeluarkan bunyi-bunyi yang aneh. Dengan tiba-tiba badannya mula mengecut, bagaikan disedut. Adira yang terkejut melihat insiden itu mula merasa loya. Dia lantas segera berpaling ke belakang dan melepaskan rasa mualnya. Tak sanggup untuk dia melihat kejadian sebegitu. Harris cuba untuk menolong pemuda itu, tetapi dihalang oleh Ryan apabila kesemuanya sudahpun terlambat.
“A-apa yang terjadi…?” Harris kelihatan terkejut.
“Aku pun tak tahu. Itu kali pertama aku tengok perkara macam tu terjadi.” Kata Kai.
Kali ini, kepala Harris benar-benar pening. Tiba-tiba dia dapat merasakan badannya menjadi lemah, pandangannya pula bertukar menjadi kabur. Pandangannya yang kabur itu dengan perlahan bertukar gelap. Harris rebah di situ, tidak sedarkan diri.
No comments:
Post a Comment