Wednesday, 4 January 2012

ZERO Arc -Bab 2-

BAB 2

14hb. Disember 2011, 4.30 pagi

Pandangan Harris yang gelap tadi semakin menerang. Ketika itu, dia mendapati dirinya berada di atas katil dalam bilik tidurnya. Fikirannya tidak berhenti-henti mengungkapkan kehairanan dan persoalan. Walau bagaimanapun, persoalannya segera terjawab apabila dia ternampak Reila yang duduk tenang di sebelahnya. 


Entah kenapa dia masih tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya itu, lantas pipinya sengaja dicubit dengan kuat. Aduh! Pedih terasa di pipinya. Tidak syak lagi, ini bukan mimpi ataupun delusi.

“Awak sudah sedar?” tanya Reila.

Harris sekadar mengangguk tidak berkata apa-apa. Tatkala itu, dia menyedari sesuatu yang tidak kena. Hanya dia dan Reila berada dalam bilik tidurnya. Berdua-duaan! Harris yang terkejut lantas mengundur menghampiri dinding. Wajahnya tiba-tiba bertukar merah menyala. 


“Kenapa? Awak demamkah?” Reila yang kehairanan dan tidak tahu apa-apa mula menghampiri Harris. Harris pada ketika itu mula merasa cuak.

“Jangan dekat!”

“Kenapa awak kelihatan seperti sedang menggelabah sahaja?”

“Gelabah? Macam mana saya tidak…” Belum sempat Harris menghabiskan kata-katanya, kepalanya dengan tiba-tiba merasa sedikit pening.

“Awak tidak apa-apa?” Reila mula kelihatan risau.

“Ya, saya tidak apa-apa. Kepala saya merasa sedikit pening.” Kata Harris sambil mengurut kepalanya itu. Ketika itulah, Adira dan lain-lain masuk ke dalam bilik Harris.

“Bagaimana dengan keadaan awak?” tanya Adira, risau.

“Saya cuma merasa pening sedikit sahaja. Awak tidak perlu risau.” Jawab Harris sambil tersenyum pendek. Adira kemudiannya memberikan semangkuk sup kepada Harris.

“Nah, saya buatkan awak sup. Awak makanlah, biar badan awak rasa lega sedikit.”

“ Terima kasih. Saya akan makan selepas ini.”

“Harris, sebenarnya kami ada satu perkara yang ingin dibincangkan kepada kamu.” Kata Kai, tiba-tiba. 

“Baiklah. Aku sedia mendengar.”

 “Terutama sekali, aku rasa kau mesti sedang bingung berkaitan dengan dua perkara. Pertama, bagaimana kami boleh muncul di Bumi. Dan yang kedua, dari mana pula kami datang, bukan?” tanya Kai. Harris sekadar mengangguk bersetuju dengan pertanyaan Kai itu.

“Baiklah. Untuk jawapan bagi soalan pertama itu, kami sebenarnya sudah lama wujud di dunia ini, tetapi manusia biasanya tidak boleh melihat kami dengan mata kasar kerana kami tinggal di dimensi lain yang selari dengan Bumi. Dan dimensi itu adalah dimensi Imaginari.” Penjelasan Kai itu mula membuatkan Adira dan Harris masing-masing bingung.

“Dimensi lain? Adakah dimensi kalian boleh disamakan dengan dimensi paranormal?” tanya Adira.

“Ya, benar. Kami sendiri pun adalah entiti paranormal yang dikenali sebagai Imaginary Being yang terhasil dari imaginasi manusia. ” Jawab Kai.

“Jadi, kalau benarlah kamu semua ini wujud dari fantasi manusia, kenapa kalian boleh muncul di dunia realiti?”

 “Kami muncul di dunia realiti disebabkan terjadinya proses realisasi di mana pintu dimensi yang menghubungkan antara dunia realiti dan dunia Imaginari pecah untuk sementara waktu. Pada masa itulah, kami boleh bergerak masuk ke dunia realiti.” Ryan menambah.

“Kalau begitu, bagaimana pula kalian boleh hidup di dunia realiti? Kalau sudah namanya entiti paranormal, kalian tak mungkin boleh dilihat oleh sesiapa dengan semudah itu. Tambahan pula, setahu aku entiti paranormal tidak ada badan fizikal yang tetap.” Harris masih buntu.

“Baiklah, kesemua perkara yang terjadi ini adalah berdasarkan dari sebuah teori yang dinamakan Teori Realisasi Imaginari.” Kata Reila, mencelah perbualan mereka.

Apa yang dikatakan Reila itu menghairankan Harris dan Adira. Teori Realisasi Imaginari? Tidak pernah pula mereka dengar tentang kewujudan teori sebegitu.

 “Baiklah. Apa yang kami akan terangkan ini agak panjang, jadi saya harap awak berdua pasang telinga betul-betul. Berdasarkan Teori Realisasi Imaginari, Imaginary Being muncul di dunia realiti selepas tujuh fasa berjaya ditempuhi. Pertama sekali, kami dilahirkan melalui imaginasi manusia. Kemudiannya, imaginasi tersebut diterangkan lagi dalam bentuk lukisan manual. Seterusnya, untuk menjelaskan lagi penerangan itu, format lukisan manual itu ditukar menjadi format lukisan digital melalui penggunaan teknologi-teknologi elektronik yang ada di dunia kamu sekarang.” Jelas Reila dengan teliti.

“Setelah ketiga-tiga fasa tersebut, bait-bait digital dari peralatan elektronik seperti komputer membentuk tubuh badan kami secara fizikal. Kemudian, badan fizikal kami disatukan dengan gelombang-gelombang yang dibebaskan dari setiap peralatan elektronik yang berada dunia realiti seperti komputer. Gelombang-gelombang ini bertindak sebagai nadi kami di mana fungsinya hampir menyamai jantung manusia.” Kata Kai, menambah.

 “Selepas semua proses ini terjadi, kami mula dilahirkan di dimensi Imaginari. Dan, akhir sekali, proses realisasi.  Kami mendapat tubuh badan secara fizikal yang membolehkan kami bergerak bebas di dunia realiti disebabkan proses ini di mana terjadinya insiden pintu dimensi antara dua dimensi iaitu Dimensi Imaginari dan Dimensi Realiti pecah.” Ryan mencelah dan mengakhiri penerangan itu.

“Tidak sangka pula ianya agak rumit, tetapi apa-apapun, aku faham dengan penjelasan itu. Walau bagaimanapun, aku ada satu lagi keraguan yang sampai sekarang aku masih tidak faham.” kata-kata Harris itu membuatkan mereka bertiga mula kehairanan.

“Adira pernah berkata kepada aku bahawa kami berdua ini adalah Imagineer, golongan yang merealisasikan elemen imaginasi kami ke dunia realiti. Dan, menurut katanya juga, perkara ini terjadi setelah dia bermain permainan online Imaginary Heroes Online’.” Kata Harris.

“Harris, mungkin dari apa yang saya akan katakan ini hanyalah sekadar kebetulan. Tetapi, awak tidak pernah terfikirkah bahawa ada kemungkinan dimensi Imaginari itu wujud adalah kerana permainan itu. Maklumlah, dunia dalam permainan itu pun bernama Imaginari.” Celah Adira. Harris mula berfikir. Baginya, ianya terlalu bagus andai perkaitan itu hanyalah sekadar kebetulan, tetapi tidak mustahil juga jikalau apa yang dikatakan oleh Adira itu benar.

“Mungkin benar apa yang kamu katakan itu, Adira. Tetapi, aku rasa kalian masih lagi tidak sedar akan sesuatu perkara yang jelas sedang berlaku sekarang ini.” Kata Kai, tiba-tiba.

“Apa maksud kau?”

“Kalian kini sedang terperangkap dalam sebuah permainan maut secara tidak sengaja.” Kata-kata Kai membuatkan Harris dan Adira bingung.

“Permainan? Permainan apa?” Harris mula hilang sabarnya apabila perasaan ingin tahu di mindanya itu mula membuak-buak.

“Permainan ini dikenali sebagai Real Rumble. Ia melibatkan para pemain yang dipilih secara teliti oleh pihak yang tidak diketahui. Mereka yang terpilih itu adalah dikenali sebagai Imagineer. Para pemain diperlukan untuk bertarung antara satu sama lain bagi menentukan siapa yang kuat di antara mereka dan merebut sebuah hadiah yang dikenali sebagai Kristal Hajat.” Jelas Kai. 

“Kristal Hajat? Biar aku teka, kristal itu akan menunaikan sebarang hajat yang diminta oleh Imagineer, bukan?” 

                “Ya, benar. Tetapi, memandangkan kau seolah-olah memandang remeh dengan perkara ini, aku mahu ingatkan kau akan sesuatu benda. Kuasa dari kristal itu sangat digeruni, dan hampir semua orang menginginkannya. Kau boleh meminta apa sahaja yang kau mahu. Menguasai dunia? Memusnahkan dunia? Kesemua itu boleh berlaku dengan adanya Kristal Hajat. Ia akan memberikan kuasa mutlak kepada pemegangnya untuk mengdistortasikan realiti di Bumi dan mencipta sebuah realiti baru sepertimana yang dia inginkan.” Nada suara Kai sedikit tinggi, memberikan amaran.  

“Tetapi, kenapa mereka boleh menggunakan kuasa esper di dunia realiti?” tanya Harris, kehairanan. 

“Itu aku sendiri pun tidak pasti. Tetapi, ada kemungkinan setiap pemain yang dipilih itu mampu mewujudkan suatu fenomena yang mengaktifkan kuasa esper mereka. Dan, fenomena itu adalah dikenali sebagai Realiti Peribadi.

“Realiti Peribadi. Begitu rupanya.” 

“Nanti dahulu, Harris. Jelaskan kepada saya, apa itu Realiti Peribadi?” tanya Adira, yang mula kelihatan bingung.

“Realiti Peribadi merupakan suatu fenomena yang bertindak sebagai sumber kuasa bagi pengguna esper. Istilah ini diperkenalkan dari sebuah novel ringan Jepun yang dikenali sebagaiA Certain Magical Index yang ditulis oleh Kazuma Kamachi. Menurut novel itu, kesemua manusia mempunyai fenomena Realiti Peribadi yang tersimpan di dalam minda mereka. Secara spesifiknya, ia melibatkan kesedaran mereka. Kekuatan Realiti Peribadi boleh dipertingkatkan secara kendiri dan lama-kelamaan, kuasa supernatural boleh dicapai dan menjadikan mereka pengguna esper. Kuasa esper si pengguna akan bertambah kuat jikalau si pengguna berupaya untuk menguatkan Realiti Peribadi. ” Kata Harris, memberikan penjelasan kepada Adira.
       
“Bagaimana pula dengan istilah Esper-type dan Summon-type itu? Menurut apa yang lelaki itu beritahu kepada saya, dia berkata saya merupakan Esper-type Imagineer manakala Harris pula Summon-Type Imagineer. Apa maksud istilah-istilah itu?” tanya Adira.

Imagineer mempunyai dua golongan yang membezakan jenis kuasa mereka. Yang pertama adalah Esper-type. Mereka yang berada dalam golongan ini diberi kelebihan paranormal. Kalau diikutkan, awak boleh samakan kuasa esper dengan kuasa magis. Tetapi, apa yang membezakan kuasa esper dengan kuasa magis adalah kuasa esper terhasil berdasarkan dari hukum fizik dan juga kimia, tetapi magis pula bergantung sepenuhnya kepada manteranya.” Jelas Reila.



“Yang kedua pula, Summon-Type. Daripada apa yang aku dengar, peratus mereka yang tergolong dalam golongan ini sangat rendah, atau lebih tepat, kewujudannya sangat jarang. Apa-apapun, mereka yang tergolong dalam golongan ini mempunyai kelebihan menyeru Imaginary Being seperti kami sendiri yang dicipta oleh imaginasi mereka sendiri. Sayangnya, golongan ini tidak mampu berlawan secara sendiri tidak seperti golongan esper.” Ryan menambah. Harris dan Adira masing-masing terdiam seketika. Ternyata mereka masih tidak dapat menerima kesemua yang terjadi itu merupakan kenyataan.



“Kai, apa yang akan terjadi kepada mereka yang kalah dalam pertarungan itu?” tanya Harris, tiba-tiba. Entah kenapa, air muka dan nada suaranya berubah secara drastik.

“Aku tahu ianya sukar untuk kau terima. Tetapi, mereka yang kalah akan menerima nasib yang sama seperti lelaki itu tadi.” Ketika itulah, minda Harris dibayangi saat-saat ketika badan pemuda itu secara misterinya mengecut, seolah-olah disedut ke dimensi lain.

“Maksud kau, mati…?” Kai sekadar mengangguk lemah mengiyakan kebenaran itu. Kai terfikirkan kemungkinan yang Harris akan membentak. Namun, lain pula jadinya apabila wajah Harris mula bertukar serius memandang ke arah mereka.

“Baiklah. Aku akan berusaha untuk mendapatkan Kristal Hajat itu.” Kata Harris, tiba-tiba. Kata-katanya itu mengejutkan mereka berempat.

“Harris, awak pastikah?  Saya dapat rasakan ianya bukan semudah apa yang awak fikirkan untuk kita dapatkan Kristal Hajat itu?” tanya Adira.

“Itu saya tahu, Adira. Tetapi, kita memang tak ada pilihan lain. Kita bergerak sebagai kumpulan, saya rasa tidak ada peraturan yang mengatakan kita tidak boleh bekerjasama, bukan?” Harris benar-benar kelihatan bersemangat.

“Harris, aku ada satu soalan yang aku ingin tanyakan kepada kau.” Tanya Kai, tiba-tiba.

“Dan soalan itu adalah…?”

“Apa tujuan kau untuk dapatkan Kristal Hajat itu?”

“Aku tidak tahu apa yang aku inginkan dengan Kristal Hajat itu. Tetapi, kalau ini sudah melibatkan dunia, aku tidak rasa aku boleh berdiam diri sahaja.” Mendengar kata-kata Harris itu, Kai mula ketawa kecil.

“Jadi, kau teringin untuk menjadi seorang herolah, ya?” tanya Kai, menyindir.

“Aku sekadar melakukan apa yang aku rasa betul. Itu sahaja.” Kata Harris, tenang sambil tersenyum. Adira mula membelek jam digital di tangannya dan.  Bukan main gelabah dibuatnya apabila jam itu menunjukkan waktu sekarang adalah 5.10 pagi.

“Harris, saya kena balik sekarang.” Adira dengan kelam-kabut mula mengemaskan barangnya.

“Adira. Sebelum awak pergi, saya harap awak boleh tolong saya. Reila, saya mahu awak tinggal bersama-sama Adira dan jagakan dia untuk saya.”

“Saya tidak kisah, tetapi kenapa saya tidak boleh tinggal di sini?”

“Maaflah kalau awak salah faham dengan saya, Reila. Tetapi, saya risaukan Adira. Adira pernah berkata kepada saya bahawa ada satu organisasi gelap yang sedang memburunya. Walaupun dia sudah ada kuasanya sendiri, tetapi saya harap awak boleh tolong tengok-tengokkan dia untuk saya. Sekurang-kurangnya, hilanglah sedikit perasaan risau saya.” Kata Harris. Harris mula kelihatan gelabah apabila Reila tidak memberikan sebarang reaksi.

“Reila, saya merayu kepada awak. Hanya awak sahaja yang boleh tolong saya sekarang ini.” Kata Harris, merayu.

“Saya faham. Tetapi, bagaimana pula dengan Kai dan Ryan?”

“Berkenaan mereka berdua, awak tidak perlu risau. Mereka akan tinggal di sini memandangkan hanya saya seorang sahaja yang tinggal di rumah ini.” Kata Harris. Ketika itulah, dia tersedar dia tersalah cakap. Dia mula risau, adakah Reila akan salah faham terhadapnya? 

 “Jika awak risaukan perasaan saya, awak tidak perlu risau. Saya faham, lelaki dan perempuan tidak boleh tinggal serumah.” Kata Reila, tenang. Ketika itulah, Harris melepaskan keluhan ringan.

“Maaf, Reila. Saya risau saya akan sakitkan hati awak.”

“Tidak mengapa. Saya faham. Adira, mari kita pergi.” Ajak Reila. Adira mengangguk.

“Harris, kalau awak ada apa-apa perkara yang hendak dibincangkan, telefonlah saya, ya? Pergi dulu.” Mereka berdua lantas meninggalkan rumah itu. Kai dan Ryan sekadar ketawa kecil. Harris sekadar mencebik, geram.

14hb. Disember 2011, 5.20 pagi.

“Tuan, maafkan saya. Saya tidak menyangka pula budak itu sudah mampu menyeru Imaginary Being miliknya pada ketika itu.” pemuda itu menundukkan kepalanya, meminta maaf.
            
            “Hadi, kau benar-benar sudah kecewakan aku.” Kata satu suara lelaki yang garau bergema di dalam bilik itu.  Hadi sekadar mendiamkan diri, tak mampu untuk berkata apa-apa.
        
           “Tuan, apa yang kita perlu lakukan sekarang?” tanya Hadi, setelah mendiamkan diri seketika.
   
             “Aku tidak rasa aku boleh percayakan kau lagi. Jadi sebab itulah, aku sudah pun mencari orang lain yang lebih sesuai dengan kerja ini. Masuk!” Kedengaran bunyi tapak yang makin kuat bergema berjalan ke arah Hadi. Kelihatan seorang lelaki yang berambut panjang sedang tersenyum, menyindir ke arahnya.

                “Apa semua ini, Tuan? Tolonglah, tuan. Berilah saya satu lagi peluang. Saya pasti kali ini saya tidak akan mengecewakan tuan.” Hadi merayu.

                “Sudah, aku bukan lagi bodoh untuk memberi kau peluang kedua! Kau patut sedar yang kuasa esper kau cuma berada di tahap 3 sahaja! Jika kau boleh kalahkan dia sekalipun, itu pun hanyalah kerana adanya ketidaksepadanan elemen. Kali ni, aku akan serahkan kepada Azhar memandangkan kuasanya berada di tahap 5.” Kata suara itu. Hadi terkejut. Tahap 5?

Tiba-tiba, satu balang besar mengurung Hadi. Hadi terkejut dan lantas memekik, merayu agar dilepaskan. “Maaflah, Hadi. Aku tidak sangka aku begitu bodoh mengharapkan kau boleh selesaikan tugas ini, walaupun aku sendiri tahu yang kau cuma esper tahap 3. Tapi, sekurang-kurangnya, otak kau masih lagi berguna untuk aku berikan kepada rakan aku!” Kelihatan satu tangan mekanikal mula bertapak di atas kepala Hadi.
            
         “Terima kasih, Hadi. Dan, selamat tinggal!” Ketika itulah, tangan mekanikal itu bertindak mencengkam kepala Hadi dengan kuat sehingga darah merah pekat memecut keluar dengan banyaknya. Pekikan histeria Hadi bergema ketika dia bergelut dengan kematian.

Tidak lama kemudian, riwayat Hadi kemudian tamat di situ. Namun pun begitu, tanpa sedikit pun berasa kasihan terhadap Hadi, lelaki itu bertindak mengawal tangan itu, menarik dan mengeluarkan otak dari kepala Hadi yang hancur itu. Ketika itu, suara ketawa bergema dengan kuat dalam bilik itu. Lelaki berambut panjang itu sekadar tersenyum di situ.



No comments:

Post a Comment